
RAWATAN fisioterapi materniti semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu hamil di Malaysia, berikutan manfaatnya yang terbukti membantu kelancaran proses bersalin.
Menurut Pakar Fisioterapi Kesihatan Wanita Antenatal Hasanah Bari, tubuh wanita mengalami pelbagai perubahan ketara sepanjang fasa kehamilan termasuk perubahan hormon, kedudukan postur serta tekanan pada otot dan ligamen.
Oleh itu, fisioterapi bukan sahaja bertindak sebagai kaedah rawatan, malah sebagai bentuk persediaan fizikal dan mental menjelang kelahiran bayi.
BACA LAGI: Kenal pasti 8 ciri-ciri ini sebelum daftar anak ke tadika, paling penting point 1
"Melalui fisioterapi, kita dapat mengurangkan ketidakselesaan seperti sakit belakang dan pinggul, menyokong pergerakan harian ibu hamil dan meningkatkan kualiti tidur.
"Ia juga memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi wanita hamil," katanya yang juga merupakan pengasas Pusat Fisioterapi Ibu Hamil & Rawatan HBC Materniti di Shah Alam, Selangor.
Hasanah Bari (empat dari kiri) merupakan pakar fisioterapi dan pemilik Pusat Fisioterapi Ibu Hamil & Rawatan HBC Materniti di Shah Alam.
Galak oksitosin, posisi bayi optimum
Salah satu pendekatan yang semakin popular ialah senaman khusus bermula seawal trimester kedua kehamilan.
Senaman seperti bridge walk dan penggunaan gym ball terbukti bantu pengaliran oksigen yang lebih baik ke otot rahim dan merangsang hormon oksitosin yang penting untuk kontraksi efektif.
"Apabila oksigen dan oksitosin disalurkan dengan baik ke rahim, bayi juga berpeluang berada dalam posisi optimum untuk kelahiran. dan secara langsung mengurangkan risiko komplikasi seperti fetal distress yang sering membawa kepada pembedahan caesar," katanya.
Kelas antenatal: Persiapan fizikal dan emosi
Kelas antenatal, terutamanya yang dianjurkan oleh HBC, menumpukan kepada pendekatan holistik bukan sekadar fizikal, tetapi juga sokongan emosi.
Ibu bapa digalakkan menyertai kelas seawal usia kandungan 20 minggu hingga 36 minggu.
"Ramai ibu hamil yang takut untuk bersalin kerana trauma atau cerita negatif yang didengar.
"Dalam kelas ini, kami ajar teknik pernafasan, posisi yang betul untuk melahirkan dan senaman selamat yang boleh meningkatkan peluang untuk bersalin normal," ujarnya.
"Fisioterapi materniti juga membantu ibu mengenal pasti isyarat awal tubuh, seperti kebas atau lenguh yang mungkin menjadi petanda awal masalah otot atau saraf dan awatan awal penting bagi mengelakkan kesakitan kronik selepas bersalin.
Gym ball antara kelengkapan utama digunakan dalam senaman fisioterapi materniti.
Sokongan berterusan selepas bersalin
Selain daripada proses kelahiran, fisioterapi turut memainkan peranan penting dalam membantu ibu bersalin pulih dengan lebih cepat baik dari segi kekuatan fizikal, kestabilan emosi, mahupun pengurusan tugasan harian.
Melalui fasiliti yang lengkap, pemantauan pakar serta senaman bersesuaian, fisioterapi kini dilihat sebagai komponen penting dalam penjagaan kesihatan wanita sepanjang kehamilan dan selepas melahirkan.
Dengan sokongan rawatan fisioterapi materniti, ibu-ibu hamil tidak lagi perlu berdepan ketakutan atau kesakitan berlebihan menjelang kelahiran.
Senaman yang betul, pengetahuan tentang fisiologi kelahiran serta sokongan daripada tenaga pakar mampu mencipta pengalaman kehamilan yang lebih positif, selesa serta selamat untuk ibu dan juga bayi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram