Ibu kecewa anak dapat 6A percubaan SPM, letak harapan nak 9A, ramai nasihat jangan terlalu 'push'


  • Bonda
  • Selasa, 07 Okt 2025

Seorang ibu meluahkan kekecewaannya selepas melihat keputusan percubaan SPM 2025 anak lelakinya. — Gambar hiasan/AI

SETIAP ibu bapa pastinya sentiasa mahukan yang terbaik buat anak mereka tidak kira sama ada baik dalam kerjaya mahupun pendidikan.

Begitu juga dengan seorang ibu yang meluahkan perasaannya selepas melihat keputusan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak lelakinya baru-baru ini.

Menerusi perkongsiannya di akaun Threads @saklla3ds, anaknya memperoleh keputusan cemerlang dengan 6A ketika percubaan.

BACA LAGI: Tak mudah jadi diri sendiri, perlu konsisten, CEO Santan dedah realiti galas tanggungjawab 'tonggak' syarikat

BACA LAGI: [VIDEO] Buah pir singo, halia tip bantu reda batuk, sakit tekak dialami anak-anak

Ia sekali gus membuatkan beliau meletakkan harapan lebih tinggi agar satu-satunya anak lelakinya dapat memperoleh markah lebih tinggi pada peperiksaan sebenar kelak.

"Saya kecewa sebab harapan memang tinggi untuknya. Dialah sorang anak lelaki dan bakal jaga saya dan adik kakaknya nanti.

"Saya nak dia paling pun lapan A dalam sembilan subjek nanti waktu SPM.

"Salah ke saya tekan hari-hari ingatkannya 'mama nak abang sembilan atau lapan A SPM nanti, tak ada apa-apa istimewa kalau pelajar Sains tak dapat markah sebegitu'.

"Perasaan takut dan risau selalu ada sejak saya jadi pejuang kanser," tulisnya.

Luahan itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya menasihati wanita tersebut agar tidak terlalu memberi tekanan terhadap anak.

Seorang pengguna akaun @suz_anies beranggapan bahawa keputusan percubaan itu sudah cukup bagus buat si anak.

"Jangan buat anak tertekan, nanti dia 'sakit. Insya-ALLAH tengok pada keputusan itu, sembilan A untuk SPM 2025 dia nanti," katanya sambil memberi semangat.

Sementara itu, pemilik akaun @zoesamalblahmar yang merupakan ibu tunggal pula berkongsi pendekatannya dalam mendidik anak-anak.

"Saya tak pernah tekan akademik pada tiga-tiga anak. Saya biar mereka tentukan sendiri apa yang mereka nak.

"Saya cuma sokong dan bimbing. Alhamdulillah, mereka matang dan berjaya ikut cara masing-masing," jelasnya.

Tidak lupa juga ada yang menasihatkan agar ibu terbabit belajar untuk sentiasa reda dan meletakkan kebergantungan kepada ALLAH.

"Puan, ketika anak saya duduki SPM 2024, saya beritahu diri saya bahawa anak sudah buat yang terbaik.

"Saya berdoa, reda dengan keputusan anak. Kuncinya reda dan selebihnya dari ALLAH.

"Bila kita 'push' sangat, kita sebagai ibu bapa akan kecewa. Siapa sangkat anak saya berjaya dengan baik tanpa saya jangka," kongsi pengguna akaun @adlinajasmin.

Perbincangan tersebut pada masa sama membuka ruang kesedaran tentang keseimbangan antara kasih sayang, harapan dan tekanan dalam mendidik anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram