Pernah lalui 'trial and error', pemasaran digital 'senjata' lonjak jenama batik Kanoe


  • Bisnes
  • Rabu, 01 Okt 2025

Noelle mendalami dunia fesyen di Australia dan Itali serta menghabiskan dua tahun menjalankan kerja sosial di Filipina.

SEJAK sedekad lalu, batik melalui kebangkitan semula didorong oleh kemunculan jenama serta pereka baharu yang membawa tafsiran moden dan segar terhadap tekstil tradisional itu.

Tidak lagi terhad kepada helaian klise yang hanya dikeluarkan untuk acara formal atau korporat, fesyen batik hari ini tampil dengan pelbagai gaya inovatif – daripada blaus pendek dan gaun santai sehinggalah beg tangan.

“Batik cukup dekat dengan rakyat Malaysia, Singapura dan Indonesia kerana ia sebati dengan sejarah, budaya dan warisan kita,” kata pengasas syarikat pakaian batik moden Kanoe, Noelle Kan.

BACA LAGI: Pernah diuji buta 3 bulan, bekas pensyarah UiTM figura di sebalik arca mercu tanda Dataran Lang Langkawi, Kesidang Mas UTeM

BACA LAGI: Dulu nak makan burger pun tak mampu, pengasas Jollibee kini jutawan bergelar 'raja makanan segera'

Koleksi batik Kanoe menampilkan fabrik yang dibuat dengan teknik berbeza. 

Menurut Noelle, batik dianggap karya unik dan cantik oleh kebanyakan pelancong asing yang mahu menjadikannya sebagai cenderahati apabila kembali ke negara masing-masing.

Ditubuhkan pada 2016, Kanoe merupakan antara perniagaan tempatan terawal yang memimpin gelombang batik moden.

Dikenali dengan siluet kontemporari dan kasual, Kanoe menghasilkan blaus, gaun, seluar dan aksesori menggunakan pelbagai jenis batik.

“Kami mahu batik dipakai semua orang dan digayakan dalam kehidupan seharian serta pelbagai majlis,” jelas Noelle.

Sebelum memulakan perniagaan, Noelle mendalami dunia fesyen di Australia dan Itali serta menghabiskan dua tahun menjalankan kerja sosial di Filipina.

Selama bertahun-tahun, idea untuk menubuhkan jenama sendiri sentiasa bermain di fikiran.

“Saya mahu ia bersifat peribadi, jadi saya bermain dengan nama saya dan akhirnya tercetuslah ‘Kanoe’.

“Ia juga mengingatkan pada canoe, iaitu sampan kecil yang mengembara, mewakili identiti dan minat saya,” katanya.

 

Nama itu juga mencerminkan motto utama jenama iaitu membawa identiti tropika ke mana sahaja, sama ada di bilik mesyuarat, sekolah atau rumah.

Rekaan awal Noelle untuk Kanoe lebih berorientasikan gaya linen resort-wear, namun apabila koleksi batik modennya menerima sambutan hangat, dia mula memberi fokus lebih besar kepada penghasilan produk batik.

Perniagaan itu mendapatkan pelbagai fabrik batik yang dibuat dengan teknik berbeza, termasuk cetakan mesin dengan corak tradisional, serta batik buatan tangan melalui kaedah blok manual atau teknik ‘wax resist dyeing’.

Disebabkan faktor masa, kerumitan dan tenaga kerja, batik buatan tangan boleh menelan kos penghasilan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding cetakan mesin.

Namun, bagi Noelle, fabrik buatan tangan tetap berbaloi dimasukkan dalam rangkaian produk.

“Batik jenis ini begitu indah. Walaupun pakaian ada sedikit ketidaksempurnaan, pelanggan tetap menghargai nilai dan keindahannya,” katanya.

Ketika mula berkecimpung dalam perniagaan, kekurangan pengalaman berbisnes memaksa Noelle melalui banyak proses 'trial and error'. 

Kanoe membuka pintu kepada pelanggan menerusi kedai pertama di hab budaya REXKL pada 2023.

Pada awalnya, Kanoe menjual secara online selain menyertai bazar pop-up. Namun ketika pandemik melanda, Noelle bertemu pakar pemasaran yang mengajar cara memanfaatkan iklan Facebook.

“Tanpa pemasaran digital, kami takkan dapat capai pengguna baharu di Malaysia dan Singapura, atau berkembang pesat ketika Covid-19,” ceritanya.

Apabila sekatan pergerakan dilonggarkan, Kanoe mengambil peluang membuka kedai pertama di hab budaya REXKL pada 2023.

Lokasi di Chinatown itu menarik pelancong dan pengunjung antarabangsa, yang kini menjadi sebahagian besar pasaran sasaran jenama tersebut.

Kanoe turut mengukuhkan namanya apabila bekerjasama dengan rangkaian farmasi Guardian untuk membekalkan beg tote di lebih 300 cawangan seluruh negara, selain mempersembahkan koleksi di Minggu Fesyen Kuala Lumpur anjuran Mercedes-Benz.

Tahun ini, Kanoe melancarkan lokasi runcit keduanya di The Campus, Ampang.

Walaupun kini lebih banyak memberi tumpuan kepada strategi dan operasi perniagaan, Noelle tetap mengikuti secara rapat rekaan dan penghasilan koleksi.

 

 

Menjelang 2026, pasukan Kanoe sedang menilai langkah strategik seterusnya termasuk membuka kedai baharu.

“Kanoe bermula hanya dengan saya sendirian. Sekarang kami ada pasukan meliputi aspek operasi, runcit dan pasukan studio,” katanya.

Dengan kewujudan kedai fizikal, tanggungjawab turut bertambah daripada mengurus kewangan, kos operasi hinggalah aliran tunai.

Bagi Noelle, tempoh ini menjadi fasa refleksi dan transisi untuk perniagaan dan pasukannya.

Matlamat jangka panjangnya adalah membentuk pasukan yang fleksibel, adaptif dan konsisten mencari jalan untuk menambah baik, di samping membantu setiap ahli berkembang dengan menggilap kekuatan masing-masing.

“Fokus saya adalah membangunkan pasukan supaya perniagaan boleh melangkah ke tahap seterusnya,” ujarnya. — The Star / NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram