[VIDEO] Buah pir singo, halia tip bantu reda batuk, sakit tekak dialami anak-anak


  • Bonda
  • Isnin, 22 Sep 2025

Manfaat buah pir singo membantu meredakan batuk dan melegakan sakit tekak dialami kanak-kanak. — Gambar hiasan/Agensi

FAKTOR cuaca tidak menentu antara faktor boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami batuk dan sakit tekak terutamanya selepas pulang daripada percutian yang panjang.

Justeru, seorang wanita berkongsi petua tradisional mudah yang diamalkan sejak dahulu bagi menangani masalah itu secara semula jadi.

Menerusi video dikongsikan di akaun Instagram @nurul_razali, petua tersebut hanya menggunakan kukusan buah pir singo bersama beberapa ramuan.

BACA LAGI: ‘Jangan cepat menghukum,' Ustazah Nazirah ulas isu 'bachelorette usrah' dikecam tiru budaya Barat

BACA LAGI: 'Syurga buatmu', guru hadiahkan murid-murid kasut sekolah baharu, ganti lusuh, koyak

Menurutnya, resipi itu bukan sahaja ringkas, malah membantu memberikan kelegaan pada tekak yang perit, sekali gus bantu meredakan batuk dialami anak-anak.

Bahan-bahan digunakan:

1. Sebiji biji buah pir singo (jenis berkulit coklat).

2. Satu inci halia yang dihiris.

3. Tiga hingga empat biji beri goji/

4. Sedikit air dan gula batu atau madu (mengikut cita rasa).

Cara penyediaannya juga mudah bagi ibu bapa yang sibuk bekerja.

"Pir singo kulitnya coklat dan perlu cuci bersih.

"Pastikan tiada kotoran. Kemudian potong separuh di bahagian atas dan buang biji di tengahnya.

"Buat seperti lubang di tengah-tengah dan kupas kulitnya," katanya.

Terangnya lanjut, proses membuang kulit adalah mengikut pilihan masing-masing.

"Kemudian, masukkan hirisan halia dan beri goji. Tambahkan sedikit air, gula batu dan madu.

"Kita tutupkan di bahagian atas tadi, kukus selama 40 hingga 50 minit sampai dia lembut dan boleh dimakan," jelasnya.

Selain sesuai untuk kanak-kanak, ia juga bagus buat individu dewasa yang mengalami masalah sama.

Penggunaan bahan semula jadi seperti beri goji dan halia sememangnya mempunyai pelbagai manfaat kesihatan termasuk sifat antiradang dan penenang tekak.

Buah pir singo pula tinggi dengan kandungan air membantu mengelakkan dehidrasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram