Setahun jadi bapa tunggal, Fazley aktif didik anak-anak skil survival, 'wajib' mahir masak lauk tradisional


  • Bonda
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Fazley memastikan anak-anaknya dapat meluangkan masa bersama setiap hari. — Fazley Yaakob

BERGELAR bapa tunggal sememangnya antara cabaran besar buat penyanyi, cef selebriti dan usahawan terkenal, Datuk Ahmad Fadzli Yaakob.

Mesra disapa komersil Fazley Yaakob, beliau berkesempatan berkongsi pendekatan dalam membesarkan empat orang anak selepas setahun berpisah dengan bekas isteri, Azrene Soraya Abdul Aziz.

Hasil daripada perkahwinan selama 18 tahun, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata terdiri daripada Ahmad Fariedz Shah, 16; Ahmad Fieradz Shah, 15; Ahmad Fierudz Shah, 14, dan seorang anak perempuan, Alayna Selma berusia 8 tahun.

BACA LAGI: ‘Jangan cepat menghukum,' Ustazah Nazirah ulas isu 'bachelorette usrah' dikecam tiru budaya Barat

BACA LAGI: Jenuh berjiran dengan si 'hoarder', tak sanggup nak hadap, ini tindakan undang-undang boleh diambil

Fazley mendedahkan cabaran terbesar sepanjang bergelar bapa tunggal. — The Star

Bagi Fazley, 47, setiap cahaya matanya bukan sahaja perlu mendapatkan pendidikan akademik, malah perlu diterapkan dan diasah dengan kemahiran lain untuk menghadapi cabaran dunia luar.

Katanya, setiap kemahiran asas tersebut diajar dan dididik oleh beliau secara langsung.

"Antara kemahiran yang saya ajar termasuk belajar memandu pada anak sulung lebih-lebih lagi dia lelaki.

"Ahmad Fariedz (anak sulung) pernah minta supaya saya jadi orang pertama mengajarnya pegang stereng lalu saya tunaikan walaupun ketika itu hujan.

"Bukan itu sahaja, saya juga terapkan semua anak belajar memasak, uruskan dapur dan paling penting cara berinteraksi dengan masyarakat," katanya ketika ditemui Majoriti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bicara graduan ijazah sarjana dalam bidang Pengurusan dan Perniagaan di Asia E University (AEU), Subang Jaya, Selangor, itu lagi, pendidikan awal bukan sahaja tertumpu kepada sesi pembelajaran di sekolah.

Pada masa sama, turut melibatkan persiapan dari sudut emosi dan sosial agar mereka tidak mengalami kejutan budaya apabila melangkah ke alam realiti.

"Kurang dari enam bulan anak sulung akan ke dunia luar iaitu melangkah ke alam universiti.

"Dia juga lanjut pengajian bidang kulinari dalam industri perubatan.

"Jadi, saya selalu didik supaya sentiasa tenang berhadapan dengan orang luar, warga maya, bahkan kawan-kawan yang kadangkala boleh menjadi lawan.

"Bagi saya adalah wajar setiap ibu bapa memberi didikan asas seumpama ini kepada anak-anak," jelasnya.

Ditanya cabaran sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai bapa tunggal.

Fazley tidak menafikan bahawa pembahagian masa bersama anak-anak antara cabaran paling besar.

"Saya cuba pastikan setiap anak-anak dapat meluangkan masa bersama saya.

"Misalnya, setiap minggu saya luangkan masa seharian bersama anak sulung.

"Kemudian, hari kedua pula dengan anak kedua dan begitulah rutin dengan setiap anak pada hari berikutnya.

"Ini termasuklah berkumpul makan sekeluarga perkara yang amat saya titikberatkan," kongsinya.

Kata Fazley, pengurusan masa bersama anak turut dilakukan bersama secara adil dengan bekas isteri.

Fazley turut mendedahkan bahawa beliau dan Azrene Soraya tidak menetapkan sebarang had masa untuk menjaga anak-anak.

Menurut Fazley, beliau dan bekas isteri, Azrene (bertudung, tengah) tidak menetapkan sebarang had masa untuk menjaga anak-anak. — Fazley Yaakob

"Tiada had hari untuk kami jumpa dengan anak-anak, saya dan bekas isteri boleh jumpa bila-bila masa sahaja.

"Tiada pembahagian khusus sebab hak penjagaan anak adalah bersama," katanya.

Dalam pada itu beliau turut berkongsi kejayaan anak sulung yang telah memenangi dua pertandingan memasak bertaraf antarabangsa.

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bakat dan kemahiran memasak Fazley nampaknya kini diwarisi Ahmad Fariedz antaranya daging salai lemak cili api menjadi resipi utama yang diturunkan kepada anaknya itu.

"Tiga lagi anak saya pun boleh memasak dan didedahkan dengan resipi masakan tradisional.

"Tiada gunanya kalau mereka tak faham dan menikmati makanan kampung sendiri apabila belajar ke luar negara kelak," ujar pelantun lagu Asmara Ini . — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram