
HUJAN renyai seakan-akan menemani rintihan pilu seorang gadis dipercayai orang kelainan upaya (OKU) sindrom Down ketika menziarahi pusara ibu bapanya baru-baru ini.
Menerusi hantaran dikongsikan pengguna akaun Threads @lydiasaminan, gadis berkenaan difahamkan sanggup berbasikal dari rumah ibu saudaranya untuk ke tanah perkuburan.
"Dia menziarahi kubur arwah ibunya yang bersebelahan kubur arwah bapanya.
"Dia menangis nak ibunya kembali," tulisnya.
BACA LAGI: 'Syurga buatmu', guru hadiahkan murid-murid kasut sekolah baharu, ganti lusuh, koyak
Menurutnya yang menyaksikan detik itu turut mengambil langkah untuk memujuk gadis berkenaan pulang.
"Saya dan dua rakan cuba pujuk untuk kami hantar pulang, tetapi hujan waktu itu seolah-olah beri waktu untuk dia luahkan rindu pada ibunya.
"Jadi, seorang daripada kawan saya akhirnya kayuh basikalnya manakala gadis itu duduk di dalam kereta," tambahnya.
Gadis tersebut turut dikatakan tinggal dan dijaga oleh ibu saudaranya berhampiran kawasan itu.
Bagaimanapun, maklumat lengkap ataupun identiti gadis berkenaan masih belum dapat dipastikan lagi setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram