
PERNIAGAAN bukanlah sekadar impian, malah menjadi cabaran yang harus ditempuh.
Selepas lebih 10 tahun berkhidmat dalam industri telekomunikasi, Mohamed Shafik Abdul Hamed, 39, membuat keputusan untuk mengubah haluan.
Anak kelahiran Selangor itu menubuhkan syarikatnya, Asas Dua Solution Sdn Bhd pada Mac lalu.
BACA LAGI: Tahan pintu guna badan, aksi berani ibu 2 anak berjaya halang perompak pecah masuk rumah
BACA LAGI: Gadis OKU tak berganjak merintih, luah rindu di pusara, minta ibu bapa 'kembali'
Perkhidmatan caddy yang ditawarkan pada kelab golf dan universiti tempatan.
Syarikatnya juga menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk kerja-kerja elektrik, ubah suai dalaman rumah serta bekalan tenaga kerja seperti pembantu pemain golf.
Siapa sangka daripada minat akhirnya menjadi ilham untuk mengembangkan lagi servisnya.
Menurutnya, peluang itu dapat dilihat apabila sering bermain di kelab-kelab golf sekitar Lembah Klang.
“Sebenarnya saya penggemar golf dan kerap bermain selepas berhenti kerja.
“Bila saya pergi padang golf selalunya tidak cukup pembantu iaitu caddy terutama waktu petang.
“Jadi, saya nampak ia sebagai satu peluang bisnes dan ambil cabaran untuk tawarkan servis caddy ini di kelab golf,” katanya kepada Majoriti.
Selain kelab golf seperti Kelab Golf Tasik Puteri, Rawang, Selangor, perkhidmatan caddy itu turut ditawarkan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Katanya, selain menjana keuntungan, perkhidmatan tersebut juga memberi peluang pekerjaan kepada komuniti.
“Sebenarnya ini juga terbuka untuk lepasan sekolah, graduan baharu dan disediakan pada kadar lebih mampu milik berbanding dalam pasaran lain,” jelasnya.
Selain golf, Mohamed Shafik pada masa sama mengambil langkah mencuri peluang dalam sektor lain.
Lawatan tapak di kawasan pedalaman antara projek yang sering dilaksanakan.
Melalui projek kerja sivil dan mekanikal, syarikatnya terlibat dalam pengubahsuaian dalaman bangunan termasuk hospital.
Mohamed Shafik berkata, terdapat beberapa hospital yang perlu membaiki struktur kecil seperti bumbung, dinding dan kemudahan lain.
“Kami juga sedang merancang untuk mendaftar dengan pihak ketiga bagi projek hospital kerajaan.
“Walaupun bidang ini memerlukan kos yang tinggi, tetapi pulangannya tetap berbaloi dengan margin keuntungan sekitar 20 peratus bagi setiap projek,” katanya.
Dengan tenaga kerja kira-kira 10 orang, Mohamed Shafik hanya bergantung kepada projek berskala kecil.
Katanya lagi, kerja tinjauan jaringan internet di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merupakan antara projek terbesar pernah dilaksanakannya.
Projek tersebut turut melibatkan beberapa kawasan pedalaman di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Sabah.
Menjalankan perniagaan juga antara proses pembelajaran buat Mohamed Shafik.
“Pada masa sama saya sedang lanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Pengurusan Operasi.
Mohamed Shafik menjalankan perniagaannya sambil melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.
“Jadi, setiap perkara yang saya belajar dalam bilik kuliah saya akan aplikasikan dengan kerja ini.
“Saya nampak kelemahan dan kelebihan dalam operasi syarikat sendiri bila kita belajar.
“Daripada situ saya perbaiki dan saya anggap ia bukan sekadar belajar, tetapi latihan terus untuk kembangkan bisnes,” ujarnya.
Bukan sekadar itu, Mohamed Shafik juga mengambil pendekatan memperbaiki kemahirannya menerusi beberapa pameran dan kursus di luar negara.
Antaranya adalah World Mobile Congress Barcelona (2018), World Health Exhibition Shenzhen, China (2024) serta Thailand Health Exhibition di Bangkok (2025).
“Daripada pameran itu saya dapat lihat bagaimana teknologi robotik semakin berkembang.
“Kita juga dapat ilham untuk memperkenalkan teknologi sedemikian ke Malaysia,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram