Terharu 2 'hero' dari Bera tak banyak tanya, bantu angkat ibu sakit buah pinggang kronik


  • Cinta
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Dua pemuda berbangsa India membantu penghidap CKD tahap lima menaiki tangga di sebuah pusat rawatan Ayurveda dekat Puchong, Selangor. — weenatease

HIDUP di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum tidak pernah menjadi halangan untuk saling membantu, biarpun tanpa mengenali antara satu sama lain.

Perkara itu jelas tergambar melalui tindakan dua pemuda berbangsa India membantu seorang penghidap buah pinggang kronik (CKD) tahap lima yang tidak mampu berjalan menaiki tangga di sebuah pusat rawatan ayurveda dekat Puchong, Selangor.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh anak wanita berkenaan menerusi hantaran di aplikasi Threads milik weenatease.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Reda' dicurangi, suami serah isteri kepada teman lelaki secara baik, ikut adat Tolaki

BACA LAGI: Suami 'paksa bayar' RM50,000 jika isteri minta cerai, peguam syarie jelas isu tebus talak

"Ibu saya pesakit CKD tahap lima, tidak mampu berjalan naik ke tingkat satu.

Tiba-tiba, muncul dua orang asing yang langsung tidak kami kenali datang bantu mengangkat ibu.

"Mereka tidak bertanya siapa kami atau apa yang berlaku. Mereka hanya melihat lalu terus membantu," tulisnya pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan spontan itu membuatkan beliau dan adik-beradiknya sebak hingga hampir menitiskan air mata.

“Pada saat itu kami hanya mampu berdiri menahan air mata, menyaksikan kebaikan terpamer di depan mata,” katanya.

Ujar individu tersebut, pemuda-pemuda yang berasal dari Bera, Pahang itu seolah-olah memahami keletihan dan keresahan yang mereka sekeluarga tanggung.

Tambahnya, tingkah laku itu mengingatkan mereka tentang makna sebenar Malaysia.

"Ia bukan tentang politik, bangsa atau agama, tetapi kemanusiaan yang tulus,” jelasnya lagi.

Perkongsian itu turut sarat dengan doa agar pemuda berkenaan dilimpahi keberkatan, selain menyifatkan bantuan kecil mereka sebagai satu bentuk pertolongan Tuhan yang hadir melalui tangan orang asing.

“Kadangkala keajaiban bukan di langit, tetapi pada dua orang pemuda di tangga, yang bukan sahaja mengangkat ibu, tetapi juga hati kami,” tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram