[VIDEO] 'Reda' dicurangi, suami serah isteri kepada teman lelaki secara baik, ikut adat Tolaki


  • Cinta
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Suami tersebut kelihatan sebak ketika menyerahkan isterinya kepada lelaki lain secara terbuka. — Agensi

TULAR di media sosial satu video upacara adat masyarakat Tolaki yang menunjukkan seorang suami menyerahkan isterinya kepada lelaki lain selepas rumah tangga mereka berakhir akibat perselingkuhan.

Kejadian pada Khamis itu berlaku di Kampung Puudombi, Daerah Tongauna Utara, Sulawesi Tenggara, Indonesia selepas lelaki dikenali sebagai SRH menyerahkan isterinya, NS kepada teman lelakinya melalui tradisi adat Tolaki dinamakan Mosehe atau Mowea Sarapu.

Ketua Kampung Puudombi, Safrudin berkata, majlis adat tersebut melibatkan semua pihak termasuk NS dan kekasihnya.

BACA LAGI: Suami 'paksa bayar' RM50,000 jika isteri minta cerai, peguam syarie jelas isu tebus talak

BACA LAGI: Lafaz talak ketika isteri suci, ramai lupa 5 adab cerai ikut ajaran Islam

“Ya, betul. Pagi ini kami selesaikan perkara tersebut melalui tradisi Mosehe.

"Kami hadir bersama semua pihak, bermakna perkahwinan SRH dan NS telah berakhir mengikut adat,” katanya.

Dalam majlis itu, pihak lelaki yang menjadi kekasih NS perlu memenuhi beberapa syarat, antaranya seekor kerbau (digantikan dengan lembu), seekor kaci (ikan laut yang juga hidangan adat Jawa), cerek air, ta'awu (persembahan ritual) dan wang tunai sebanyak lima juta Rupiah (RM1,300).

Upacara berkenaan disaksikan oleh ketua adat, ketua kampung, keluarga kedua-dua pihak dan masyarakat setempat.

SRH yang cuba berlagak tegas akhirnya kelihatan sebak ketika menyerahkan isterinya kepada lelaki lain secara terbuka.

“Oleh kerana saya sudah bercerai mengikut undang-undang agama, saya serahkan NS sepenuhnya kepada kamu. Jagalah dia.

"Walaupun selama ini dia tidak bahagia bersama saya, kamu berilah dia kebahagiaan. Jangan sia-siakan," titipnya kepada lelaki itu dalam keadaan hiba.

Menurut Safrudin, skandal itu terbongkar selepas SRH menangkap isterinya bersama lelaki lain di sebuah rumah tumpangan di Daerah Unaaha.

Pasangan tersebut dibawa ke balai polis dan akhirnya mengaku perbuatan mereka.

Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada pemimpin adat untuk diselesaikan mengikut undang-undang adat Tolaki.

Untuk makluman, jika berlaku perceraian dalam masyarakat Tolaki, ia tidak hanya sah secara agama dan undang-undang, tetapi perlu juga diselesaikan melalui adat.

Kebiasaanya pihak lelaki menyerahkan persembahan adat tertentu sebagai bentuk tanggungjawab sebelum 'melepaskan' isteri.

Berbeza dengan perceraian, adat perkahwinan Tolaki boleh dikatakan ada persamaan dengan tradisi Melayu, walaupun setiapnya ada ciri khas tersendiri.

Ia termasuk merisik (Mekawi-kawi), pertunangan (Mepano) dan perkahwinan (Mo’oli-oli).

Bagaimanapun, adat Tolaki melarang pengantin perempuan keluar rumah (pingitan) atau bergaul bebas untuk satu tempoh tertentu sebelum majlis perkahwinan.

Ia melambangkan kesucian dan penghormatan kepada calon suami. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram