Dilayan seperti binatang, dipaksa minum air tandas, Hazwani dedah kekejaman tentera rejim


  • Maya
  • Ahad, 05 Okt 2025

Hazwani (kiri) yang menyertai misi itu bersama kakaknya, Heliza Helmi turut menyifatkan layanan yang diterima sebagai satu bencana kemanusiaan. — Agensi

AKTIVIS Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla, Hazwani Helmi mendedahkan pengalaman peritnya selepas kapal yang dinaiki bersama delegasi lain dipintas dan ditahan angkatan tentera zionis baru-baru ini.

Dalam rakaman video dikongsikan, Hazwani berkata, mereka diculik tanpa sebarang sebab dan dibawa ke 'penjara pengganas'.

Hazwani yang menyertai misi itu bersama kakaknya, Heliza Helmi turut menyifatkan layanan yang diterima sebagai satu bencana kemanusiaan.

BACA LAGI: Walau misi kemanusiaan ancam keselamatan, keberanian luar biasa anak autisme, Greta Thunberg dikagumi dunia

BACA LAGI: Pernah ditahan di perairan antarabangsa, Dr. Fauziah tak gentar, terus teguh berjuang misi kemanusiaan pada usia 68 tahun

“Kapal kami dipintas tentera, mereka culik dan letak kami di 'penjara pengganas' tanpa sebab yang saya pun tak tahu.

"Saya harap dunia akan lihat kekejaman tentera Zionis. Ia merupakan satu kejahatan.

"Mereka melayan kami seperti binatang, tidak beri kami makanan atau air bersih malah membuang ubat-ubatan kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sebaik tiba di lapangan terbang Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan.

Beliau juga mendedahkan layanan kasar terhadap aktivis muda antarabangsa, Greta Thunberg, yang dipukul, diletakkan bendera Zionis pada wajahnya dan diikat pada sebuah troli.

“Mereka melayannya seperti haiwan. Sehingga hari ini, kami tidak mendapatkan semula barangan kami.

"Dunia perlu mengetahui kejahatan rejim. Mereka adalah orang yang sangat jahat,” ujarnya.

Seorang lagi delegasi dari Malaysia, Iylia Balqis Suhaimi berkata, layanan diterima sepanjang berada dalam tahanan amat tidak berperikemanusiaan, seolah-olah bertujuan menekan dan menghina mereka.

Ujarnya, tentera Zionis menetapkan terlalu banyak protokol, seolah-olah untuk membuat mereka rasa terganggu.

"Kami dipaksa menukar pakaian, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di bawah cahaya matahari yang sangat terang,” katanya.

Iylia turut berkongsi bagaimana identiti mereka sebagai Muslimah tidak dihormati.

“Mereka tak melayan kami sebagai hijabi (wanita bertudung). Ada antara kami yang dipaksa membuka hijab,” jelasnya.

Lebih menyedihkan, katanya, mereka tidak diberikan air bersih mahupun ubat-ubatan meskipun ada tahanan yang memerlukan rawatan segera.

“Seorang wanita memerlukan ubat dengan serius, tetapi mereka menolak permintaan itu.

"Mereka kata, selagi belum mati, maka tak apa. Kami terpaksa minum air kotor dari tandas,” dedahnya.

Global Sumud Flotilla merupakan misi kemanusiaan antarabangsa yang digerakkan bagi menyalurkan solidariti kepada rakyat Palestin, namun berdepan sekatan daripada tentera rejim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram