3 studio pilates sekitar KL patut cuba, sesi cantikkan postur badan sambil 'healing'


  • Relaks
  • Selasa, 22 Apr 2025

Bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, pilates juga membantu wanita mendapatkan postur yang cantik. — Gambar hiasan/Freepik

NAK sihat dan postur badan cantik? Pilates antara senaman yang sesuai dan semakin digemari golongan wanita.

Senaman itu bukan hanya memfokuskan kepada kekuatan teras, tapi membantu meningkatkan postur keseimbangan dan fleksibiliti.

Paling menarik, ia sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kecergasan. 

BACA LAGI: Misi Ili bantu wanita capai berat badan ideal, usah malu demi sihat dan 'fit'

BACA LAGI: Fenomena Imane Khelif ubah landskap tinju, lebih ramai gadis di Algeria tak kisah ceburi sukan lasak

Sehubungan itu, buat anda yang berada di sekitar Kuala Lumpur, Majoriti kongsikan tiga pilihan studio pilates wajib cuba.

Urban Spring Pilates

Ruang estetik dan kondusif memberikan pengalaman terbaik dari segi fizikal, minda dan keseimbangan emosi sepanjang melakukan aktiviti pilates.  @urbanspringpilates

Urban Spring Pilates di Bangsar, Kuala Lumpur adalah antara studio semakin mendapat tempat terutamanya dalam kalangan wanita muda dan profesional yang mengutamakan kesihatan dan ketenangan.

Studio itu bukan sahaja menawarkan ruang estetik dan selesa, malah memberikan pengalaman holistik dari segi fizikal, mental dan keseimbangan emosi.

Suasana dalam studio amat menenangkan. Pencahayaan lembut, rekaan dalaman minimalis dan haruman aromaterapi menyuntik pengalaman seolah-olah sedang bersenam di dalam spa.

Bagi yang sukakan vibes healing, Urban Spring Pilates, memang kena dengan jiwa.

Menariknya, studio pilates berkenaan juga menyediakan kelas prenatal pilates khas untuk ibu hamil yang ingin kekal aktif dan bersedia secara fizikal menjelang hari bersalin.

Selain itu, kelas postnatal pilates pula membantu para ibu membina semula kekuatan teras dan memperbaiki postur selepas bersalin.

SoPilates Studio

Studio ini menawarkan kelas 'mat' dan 'reformer' pilates bagi sesi persendirian, berpasangan atau berkumpulan.  — @sopilates.studio

SoPilates Studio di Kuala Lumpur terkenal dengan pendekatan konsep mesra dan santai.

Studio ini menawarkan kelas mat pilates dan reformer pilates sama ada untuk individu, berpasangan atau berkumpulan bergantung keperluan peserta.

Reka bentuk studio ringkas, tetapi selesa menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang inginkan suasana tenang tanpa rasa terasing.

Selain itu, pendekatan pengajar di sini bersifat peribadi dan menyesuaikan teknik mengikut kemampuan individu.

Dengan pengajar bertauliah dan perhatian kepada postur dan penjajaran badan yang betul, SoPilates sesuai untuk mereka yang baru bermula atau ingin meningkatkan teknik senaman.

Serene Pilates KL

Studio yang beroperasi di tengah-tengah kota raya ini antara menjadi tumpuan peserta dalam kalangan Muslimah. — @serenepilateskl

Serene Pilates KL merupakan salah satu studio pilates menawarkan suasana eksklusif dan tenang di tengah-tengah kota raya.

Terletak di The LINC, Kuala Lumpur, ia menampilkan ruang senaman moden, bersih dan serba minimalis sesuai untuk mereka yang inginkan me time sambil menjaga kesihatan. 

Serene Pilates juga menyediakan pelbagai kelas seperti mat pilates dan reformer pilates dan kelas privasi one-on-one, semuanya dikendalikan jurulatih wanita bertauliah. 

Kelasnya juga sesuai untuk semua peringkat termasuk pemula dan wanita hamil. Paling membuatkan ia unik suasananya yang tertutup dan selamat, menjadikan antara pilihan Muslimah yang inginkan privasi ketika bersenam. 

Oleh itu, anda yang berada di Kuala Lumpur dan mencari tempat untuk recharge badan dan minda, Serene Pilates perlu ada dalam senarai studio pilated harus dicuba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram