[VIDEO] 'Tak bernafas budak itu', wanita dikecam gara-gara bawa bayi sertai larian buih di Mexico


  • Bonda
  • Khamis, 02 Okt 2025

Tangkap layar memaparkan wanita berkenaan membawa seorang bayi lelaki menggunakan kereta sorong ketika acara larian buih.

TINDAKAN seorang wanita membawa anak kecil menyertai acara larian buih mengundang kecaman ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Rakaman yang dikongsikan pengguna TikTok, Maria Lara pada Isnin memaparkan suasana sekitar acara larian tersebut yang dipenuhi buih berwarna coklat.

Dalam video sama, seorang wanita berbaju jersi merah jambu dilihat menolak kereta sorong bayi sambil sebelah lagi tangannya merakam suasana menggunakan telefon pintar.

BACA LAGI: Pakar dedah risiko bayi duduk 'baby walker', bataskan tumbesaran anak

BACA LAGI: 1,000 hari pertama bayi risiko tinggi dijangkiti penyakit?

Lebih mencetuskan kemarahan netizen, hampir keseluruhan tubuh bayi lelaki yang berada dalam kereta sorong itu ditutupi buih.

Menyedari keadaan itu, wanita berkenaan dilihat segera menyapu buih di wajah bayi tersebut hingga jelas kelihatan si kecil itu terkejut dengan situasi yang berlaku.

Kejadian yang difahamkan berlaku di Baja California, Mexico itu kini mula meraih perhatian di pelbagai platform media sosial.

Rakaman itu terus mencetuskan perdebatan mengenai sikap ibu bapa yang didakwa terlalu mementingkan hiburan hingga mengabaikan keselamatan anak.

Seorang pengguna Threads, nadzrahradzi21 berpendapat, tindakan wanita berkenaan sama sekali tidak mencerminkan tanggungjawab seorang ibu.

"Mak jenis apa ini? Memang tak layak jadi ibu. Apa fungsi bawa kereta sorong bayi dengan anak di dalamnya? Tak bernafas budak itu aku nengok,” tulisnya.

Sementara itu, pengguna lain, rizz_sufian beranggapan, tindakan tidak wajar wanita itu berisiko membahayakan nyawa bayi berkenaan.

"Mesti (buih) masuk hidung juga, nak cakap lebih nanti ingat kita dengki pula, tapi nak cakap juga, kadang-kadang cantik itu tak seiring dengan kebijaksanaan.

"Bahan kimia itu (bahaya kalau) masuk mata, mulut atau hidung," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram