PASTINYA tiada pasangan yang membina rumah tangga dengan penuh kasih sayang berharap agar hubungan itu 'runtuh' begitu sahaja.
Bagaimanapun, segala yang ketetapan telah tertulis oleh Yang Maha Berkuasa.
Meskipun sudah berusaha sehabis mungkin mencari jalan penyelesaian, kadangkala hanya penceraian menjadi jalan terakhir yang boleh diputuskan.
BACA LAGI: Lafaz talak secara terpaksa belum tentu sah, ketahui penjelasan peguam syarie
Suami isteri perlulah mempelajari adab dalam bercerai sebelum mengambil keputusan untuk meleraikan hubungan.
Penceraian pastinya terasa menyakitkan buat segelintir individu terutama yang masih memiliki cinta yang mendalam di dalam hati.
Tiada yang dapat menggambarkan kesedihan dan kepedihan yang dirasai oleh mereka yang menghadapi situasi itu.
Mengulas mengenai itu, selaku seorang umat Islam terutama golongan lelaki, kita perlu mengetahui adab penceraian sebelum memutuskan untuk menjatuhkan talak.
Terdapat banyak adab penceraian menurut Islam yang perlu dititikberatkan seperti:
1. Talak dijatuhkan apabila isteri dalam tempoh suci
Menurut kata-kata Imam Al-Ghazali, adab pertama ketika bercerai adalah menjatuhkan talak sewaktu isteri dalam masa suci.
Tempoh suci itu bermakna tidak berlaku sebarang hubungan seksual di antara kedua-duanya.
Ketika talak dijatuhkan dalam keadaan isteri telah berhubungan seks atau sedang haid, maka tempoh idah akan menjadi lebih panjang.
Perkara ini akan menyulitkan keadaan pihak perempuan.
2. Menjatuhkan talak satu sahaja
Tidak perlu terus menjatuhkan talak sehingga tiga untuk mengakhiri sesuatu hubungan.
Dengan menjatuhkan talak satu sahaja, ianya sudah sah menurut Islam.
Menjatuhkan satu talak sahaja juga memiliki faedah iaitu memudahkan proses untuk merujuk kembali jika si suami menyesali keputusannya itu.
Sudah tentu, proses akan berbeza jika suami telah menjatuhkan talak tiga sekali gus.
Selain menyakitkan hati wanita, talak tiga juga akan memanjangkan proses merujuk kembali sekiranya si suami ingin berbaik semula dengan si isteri.
Seseorang lelaki tidak boleh menceraikan isteri dengan cara kasar.
3. Berlemah lembut ketika memutuskan penceraian
Kita perlu mengakui bahawa banyak pasangan yang bercerai kerana didorong oleh perasaan marah.
Malah, terdapat ramai lelaki yang mengeluarkan talak secara kasar dengan penuh beremosi.
Ini jelas tidak mengikut adab sebenar ketika bercerai menurut ajaran Islam.
Malah, suami juga perlu menjatuhkan talak dengan ayat yang lembut selain cuba menenteramkan keadaan isteri.
Ini dibuat bagi mengelakkan penceraian itu mampu menimbulkan kesan luka yang mendalam terhadap diri seseorang.
Memberikan ketenangan dan berpisah dengan cara yang baik juga dibuat agar kedua-dua belah pihak mampu menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
Tidak boleh mendedahkan aib pasangan kepada orang luar.
4. Jangan mendedahkan aib isteri selepas bercerai
Perceraian biasanya disebabkan oleh masalah, ketidakserasian dan perkara negatif lain.
Tidak dinafikan, ramai pasangan yang mendedahkan aib masing-masing apabila sudah bercerai.
Larangan membuka aib itu juga tidak terhad sesama pasangan sahaja, malah terhadap ahli keluarga, rakan-rakan atau kenalan.
Daripada Abu Sa’id al-Khudriy, beliau berkata bahawa Baginda Rasulullah bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi ALLAH pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.” [Riwayat Muslim]
Berdasarkan keumuman hadis ini, Nabi SAW mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan bahawa mereka berada pada seburuk-buruk kedudukan di sisi ALLAH SWT.
Terutamanya pada perkara-perkara sulit yang berlaku antara kedua-dua pasangan seperti hal-hal istimta’ (keseronokan antara suami isteri).
Justeru, ini menunjukan bahawa membuka aib pasangan adalah perbuatan yang ditegah di sisi syarak kecuali terdapat beberapa keperluan dan hajat yang mendorong salah satunya untuk berbuat demikian.
Ia sesuai dengan tuntutan ajaran Rasulullah SAW supaya berkata perkataan yang baik-baik atau berbuat senyap sekiranya tiada keperluan.
Larangan ini juga ditambah dengan ancaman di akhirat seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَعَدَ عَلَى فِرَاشِ مُغِيبَةٍ قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُعْبَانًا
Maksudnya: “Orang yang membuka aib pasangannya, ALLAH akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” [Riwayat Ahmad]
5. Kembalikan isteri kepada ibu bapanya dengan baik
Perkahwinan yang terjalin pastinya menyatukan kedua-dua belah pihak keluarga.
Ini juga membawa maksud, suami tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak buruk terhadap isteri memandangkan si isteri menjadi tanggungjawabnya.
Apabila sudah tidak bersama lagi, menjadi tanggungjawab suami untuk mengembalikan isteri kepada ibu bapanya dengan baik.
Jelaskan juga apa punca perpisahan itu dan jangan biarkan sebarang perkataan menyakiti wanita atau keluarganya.
Ini adalah beberapa adab ketika bercerai menurut ajaran Islam yang wajib diterapkan.
Walau apa pun konteks perceraian itu samada buruk dan pahit, ia tetap harus dilakukan dengan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram