Dari ladang ke almari pakaian, fesyen lestari SukkhaCitta angkat martabat wanita desa


  • Sukses
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Menjelang 2030, Riadini-Flesch menyasarkan untuk memberi impak kepada 10,000 nyawa dan memulihkan 1,000 hektar tanah. — Agensi

BERMULA dengan sebuah rumah bata sederhana di atas bukit, sekumpulan wanita desa di Indonesia kini menjadi tumpuan dunia melalui jenama fesyen lestari, SukkhaCitta, yang diasaskan oleh Denica Riadini-Flesch.

Menjelang 2030, Riadini-Flesch, 34, menyasarkan untuk memberi impak kepada 10,000 nyawa dan memulihkan 1,000 hektar tanah.

Di Rumah SukkhaCitta, wanita-wanita desa yang mesra digelar ibu berkumpul untuk menghidupkan kembali seni batik turun-temurun.

BACA LAGI: Bakal Permaisuri Sepanyol cetus fenomena 'Leonormania', tarik minat wanita muda sertai tentera

BACA LAGI: [VIDEO] Doktor dari Kedah raih 5 angka sebulan, membimbing orang ramai jana pendapatan melalui produk digital 

Sambil berbual dan bergurau, tangan mereka cekap menitikkan lilin panas, mencipta motif indah yang menjadi identiti utama jenama itu.

Ditubuhkan pada 2016, SukkhaCitta membawa konsep 'farm-to-closet' atau ladang ke almari pakaian, merangkumi rantaian penuh dari ladang kapas dan tanaman nila, pemintalan benang, pewarnaan fabrik secara semula jadi hinggalah ke bengkel batik.

Pakar ekonomi pembangunan, Riadini-Flesch mengakui ilham itu muncul setelah beliau meninjau kehidupan desa di seluruh Indonesia.

Riadini-Flesch berhasrat untuk menyediakan fasiliti baharu untuk menyokong lebih ramai penggiat seni desa. — Agensi

Ketika itu, beliau mendapati wanita desa kehilangan ilmu pertukangan, bergelut dengan pendapatan rendah dan terpinggir daripada sistem ekonomi moden.

“Apabila anda mendidik dan mengangkat wanita, anda sebenarnya mengangkat seluruh komuniti,” katanya.

Kini, lebih 1,500 penduduk desa menerima manfaat, lebih 30 hektar tanah terbiar dipulihkan dan lebih tiga juta liter pewarna toksik berjaya dielakkan daripada mencemari sungai di Indonesia.

Pengiktirafan besar hadir selepas beliau menerima Rolex Award for Enterprise 2023, sebahagian daripada inisiatif Perpetual Planet yang menghargai usaha menangani cabaran global.

Dengan dana dan sokongan anugerah itu, Riadini-Flesch merancang untuk antaranya memperluas sekolah batik ke lebih banyak kampung, membangunkan aplikasi digital bagi perkongsian ilmu pertanian regeneratif (penjanaan semula).

Selain itu, beliau juga berhasrat untuk menyediakan fasiliti baharu untuk menyokong lebih ramai penggiat seni desa.

Bagi para ibu, SukkhaCitta bukan sekadar peluang menjana pendapatan, malah ruang persaudaraan.

Bagi Riadini-Flesch, para ibu bukan sekadar pekerja, tetapi mereka adalah rakan kongsinya. — Agensi

Di bengkel batik, mereka bekerja sambil anak-anak bermain, membina suasana harmoni yang menyatukan keluarga dan komuniti.

Malah, dengan hasil pendapatan baharu, para ibu desa bersama-sama mendirikan sebuah sekolah anak yatim di kampung mereka.

Ia adalah bukti nyata bahawa pemerkasaan wanita memberi kesan berantai kepada seluruh masyarakat.

Kapas tradisional

Di Indonesia, 99 peratus kapas diimport, namun SukkhaCitta menghidupkan kembali pertanian kapas tradisional.

Salah satu teknik lama yang dipraktikkan semula ialah tumpang sari, iaitu menanam pelbagai tanaman berdekatan agar saling menyuburkan.

Misalnya Kasmini, petani berusia 60-an, kembali menanam kapas bersama cili, kacang hijau dan jagung dengan sokongan SukkhaCitta.

Kaedah regeneratif itu memulihkan tanahnya di samping meningkatkan hasil kapas.

Riadini-Flesch mengakui, ilham 'farm-to-closet' muncul setelah beliau meninjau kehidupan desa di seluruh Indonesia.

Selain itu, pewarna semula jadi seperti SweetIndigo yang diperbuat daripada tumbuhan dan gula digunakan tanpa bahan kimia toksik, melindungi sungai daripada pencemaran serta menyuburkan tanah.

Walaupun berakar pada kraf tradisi, SukkhaCitta tidak menolak teknologi. Mesin pemisah kapas digunakan bagi menjimatkan masa para ibu.

Mereka juga bekerjasama dengan akademik untuk memperkukuh pertanian lestari.

“SukkhaCitta bukan sekadar pakaian. Ia adalah gerakan untuk menjadikan bumi lebih baik, walaupun bermula dengan sebidang tanah kecil.

"Bagi saya, para ibu bukan sekadar pekerja, tetapi mereka adalah rakan kongsi,” tegas Riadini-Flesch. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram