Jual cincin tunang mulakan bisnes produk kecantikan inspirasi amalan holistik Jepun, jadi perhatian Meghan Markle, Selena Gomez


  • Sukses
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Vicky mahu Tatcha berdiri sebagai simbol keseimbangan antara kejayaan dan kesejahteraan diri. — Agensi

WANITA bernama Vicky Tsai bukan nama asing dalam industri kecantikan global.

Pengasas jenama penjagaan kulit mewah, Tatcha itu berjaya membina empayar bernilai ratusan juta dolar sehingga menjadi pilihan selebriti ternama dunia.

Namun di sebalik kilauan kejayaan, Vicky mengakui perjalanan itu menuntut harga yang terlalu mahal dalam kehidupan peribadinya.

BACA LAGI: Dari ladang ke almari pakaian, fesyen lestari SukkhaCitta angkat martabat wanita desa

BACA LAGI: [VIDEO] Doktor dari Kedah raih 5 angka sebulan, membimbing orang ramai jana pendapatan melalui produk digital

Segalanya bermula pada 2009 apabila Vicky, yang ketika itu bergelut dengan masalah kewangan, menjual cincin pertunangan bagi membiayai modal permulaan Tatcha, jenama penjagaan kulit yang diinspirasikan daripada amalan holistik Jepun.

Dari garaj rumahnya di San Francisco, Amerika Syarikat (AS), wanita yang kini mencecah usia 47 tahun itu melancarkan produk pertama pada hari sama beliau melahirkan anak perempuannya.

Tidak lama selepas itu, Tatcha menembusi pasaran Sephora dan menjadi kegemaran selebriti ternama termasuk Meghan Markle dan Selena Gomez.

Lebih membanggakan, jenama tersebut turut bekerjasama dengan badan amal Room to Read yang membiayai lebih 12.5 juta hari persekolahan untuk kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.

Lepas jawatan

Namun, kejayaan luar biasa itu tidak datang tanpa pengorbanan.

Pada 2019, Vicky menjual Tatcha kepada Unilever dengan nilai mencecah USD500 juta (kira-kira RM2.1 bilion).

Ramai menganggap ia penamat indah untuk perjuangan Vicky, tetapi hakikatnya tahun-tahun selepas penjualan itu menjadi detik paling getir dalam hidupnya.

Didorong oleh desakan rakan kongsi ekuiti swasta, Vicky melepaskan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan memberi laluan kepada pasukan baharu.

Namun dua tahun kemudian, ketika pandemik Covid-19 melanda dan syarikat berdepan kemerosotan jualan serta kejatuhan moral pekerja, beliau dipanggil semula untuk memulihkan keadaan.

Tatcha ialah jenama penjagaan kulit yang diinspirasikan daripada amalan holistik Jepun. — Agensi

Pemulihan itu berjaya, tetapi Vicky mengaku ia meninggalkan luka mendalam.

“Saya kehilangan banyak perkara peribadi termasuk keguguran dan perkahwinan saya.

"Inilah sisi gelap kejayaan yang jarang diperkatakan orang,” katanya.

Lebih menyedihkan, pengalaman getir itu berakar daripada pandangan skeptikal terhadap kebolehannya.

Pada awal kerjaya, Vicky pernah diberitahu bahawa dirinya tiada potensi kepimpinan.

Kata-kata itu melekat lama hingga menimbulkan impostor syndrome, meskipun beliau membuktikan sebaliknya melalui pertumbuhan luar biasa Tatcha.

Ironinya, pengalaman melihat orang lain memimpin syarikatnya dengan hasil yang mengecewakan akhirnya menyembuhkan keraguan diri itu.

“Saya sedar bahawa piawaian emas yang diagungkan sebenarnya hanya emas palsu,” ujarnya.

Kini, selepas kembali menstabilkan Tatcha, Vicky memilih untuk memberi tumpuan pada kesihatan diri.

Pengalaman membina semula hidup itulah yang mengilhamkan produk baharu syarikat, yakni Longevity Serum berasaskan ramuan dari Okinawa, Jepun, sebuah wilayah yang terkenal dengan penduduk berumur panjang.

Lebih daripada sekadar jenama kecantikan, Vicky mahu Tatcha berdiri sebagai simbol keseimbangan antara kejayaan dan kesejahteraan diri.

“Kalau kita tidak mula bercakap tentang harga sebenar di sebalik kejayaan, kitaran pengorbanan ini akan berterusan,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram