Pelajar di Jepun pakai 'vest' 7kg, jaga bayi sebenar untuk rasai pengalaman sebagai ibu bapa


  • Bonda
  • Khamis, 02 Okt 2025

Pelajar diwajibkan memakai 'vest' seberat 7kg yang dilengkapi pelapik pada bahagian dada dan perut, bagi mensimulasikan beban fizikal ketika hamil. — Agensi

SEBUAH sekolah menengah di Jepun tampil dengan pendekatan unik apabila meminta kira-kira 70 pelajarnya merasai sendiri cabaran menjadi ibu bapa menerusi program khas yang menekankan nilai empati dan tanggungjawab.

Dalam program itu, pelajar diwajibkan memakai vest seberat tujuh kilogram (kg) yang dilengkapi pelapik pada bahagian dada dan perut, bagi mensimulasikan beban fizikal ketika hamil.

Mereka kemudian diminta melakukan tugasan mudah seperti berjalan, tunduk dan berdiri, sebelum menyedari betapa pergerakan seharian menjadi lebih sukar apabila tubuh menanggung beban tambahan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak fasih Jepun pun boleh mengajar', wanita kongsi pengalaman jadi guru bahasa Inggeris di Osaka, 'culture shock' tengok pengetua mop lantai sekolah

BACA LAGI: Pakar dedah risiko bayi duduk 'baby walker', bataskan tumbesaran anak

Mereka diberi peluang berlatih mendukung, mendodoi dan menyuap bayi, sambil mendengar perkongsian pengalaman daripada ibu bapa sebenar. — Agensi

Selepas sesi simulasi, pelajar dipasangkan untuk menjaga bayi sebenar berusia dua hingga enam bulan di bawah pengawasan guru dan ibu bapa.

Mereka diberi peluang berlatih mendukung, mendodoi dan menyuap bayi, sambil mendengar perkongsian pengalaman daripada ibu bapa sebenar mengenai rutin menjaga anak tanpa henti.

Ramai pelajar mengakui pengalaman itu membuka mata mereka terhadap realiti keibubapaan yang memerlukan kesabaran tinggi, kekuatan fizikal dan emosi serta penuh dengan cabaran tidak dijangka.

Menurut pihak sekolah, tujuan program tersebut bukan untuk menakutkan para pelajar, sebaliknya bagi menanamkan penghargaan terhadap pengorbanan ibu bapa dan meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab dalam berkeluarga.

“Pelajar mula memahami bahawa tugas yang kelihatan remeh sebenarnya memerlukan kesabaran, kekuatan dan belas kasihan,” jelas wakil sekolah itu.

Program berkenaan diharap dapat membantu generasi muda memandang tanggungjawab berkeluarga dengan perspektif lebih positif, selain mendorong mereka menghargai usaha ibu bapa serta kepentingan saling menyokong antara satu sama lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram