TIDAK semua ibu hamil selesa untuk kekal aktif dan bersukan ketika mengandung.
Namun, bagi seorang ibu kepada dua cahaya mata Cassandra Alicia, 29, aktiviti larian menjadi rutin penting untuk mengekalkan kesihatan mental dan fizikal sepanjang tempoh kehamilan.
Menariknya, wanita asal Ipoh, Perak itu bukan sahaja berlari seorang diri, tetapi turut membawa anak kecil dengan menolak stroller ketika menyertai acara tersebut.
BACA LAGI: Sidang Kemuncak SCO Tianjin, Wan Azizah perkukuh hubungan bersama isteri pemimpin dunia
Tular di laman sosial baru-baru ini, aktiviti yang dimuat naik menerusi Instagram itu nyata mencuri perhatian ramai ekoran gaya hidup sihat diamalkan ketika bergelar ibu hamil.
Katanya, aktiviti larian bukan sahaja membantu mengekalkan stamina tetapi juga mengurangkan tekanan emosi.
"Bila pregnant ni kita mesti rasa nak melepet, baring dan tidur je sepanjang hari jadi bila saya kekal aktif running, terasa mood tu sentiasa happy dan badan sihat.
"Syukur juga saya tiada morning sickness dan kekal cergas sepanjang hamil, stress langsung tiada sebab badan sentiasa bersenam.
"Paling utama ia dapat bantu saya kawal berat badan dan mudahkan proses bersalin, masalah kencing manis GDM ketika hamil pun dapat diatasi," katanya kepada Majoriti.

Cassandra merupakan seorang ibu kepada dua cahaya mata.
Bercerita lanjut tentang pengalaman sepanjang tempoh hamil, Cassandra yang juga merupakan seorang model fesyen sepenuh masa itu mengakui dirinya masih cekal menjalankan aktiviti larian beberapa jam sebelum bersalin.
Bagaikan sudah terbiasa dengan aktiviti tersebut, wanita bersaiz tubuh kecil itu sekadar berlari 'brisk walk' bagi mengekalkan kecergasannya namun, tidak menyedari dirinya sudah semakin menghampiri detik kelahiran bayi keduanya.
"My last run was malam sebelum bersalin, tapi cuma brisk walk je itu pun masa dah beberapa hari sebelum bersalin tu mula rasa sakit tapi masih teruskan juga running.
"Tapi malam tu sehari sebelum bersalin doktor kata dah ada bukaan 1cm dan doktor jangkakan bersalin minggu depan.
"Tapi malam tu saya brisk walk macam biasa dan balik dalam keadaan contraction, malam tu juga terus pergi hospital dan terus masuk wad bersalin," tambahnya.
Akui dirinya tidak terlepas daripada kecaman segelintir netizen ekoran video tularnya baru-baru ini, Cassandra tegas dengan pendiriannya untuk kekal aktif dalam larian apatah lagi sudah mendapatkan konsultasi dengan doktor pakar dan jurulatih kecergasan peribadinya.
Malah, tahap fizikal dan kecergasannya sama sekali tidak membataskan pergerakannya lebih-lebih lagi didorong kuat suami tercinta.
"Saya ada consult doktor dan fitness trainer saya. saya ada coach yang melatih saya dan kebetulan dia pun mengandung sekali dengan saya, jadi saya ikut apa yang dia suggest boleh dan tidak boleh sampai la bersalin," ujarnya.
Kini, Cassandra kekal bergiat aktif dalam mana-mana acara larian dan akan menyertai sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu manakala aktiviti bersama keluarga pula pada setiap hujung minggu.
Kisahnya membuktikan bahawa kehamilan bukan halangan untuk terus aktif, selagi dilakukan dengan cara yang betul dan selamat.
Lebih daripada sekadar senaman, ia adalah simbol ketabahan, kasih sayang dan semangat seorang ibu yang mahu memberikan yang terbaik untuk diri dan keluarganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
