Ibu hamil jangan abai 3 bacaan kritikal dalam buku 'pink', petunjuk bayi sihat atau tidak


  • Bonda
  • Khamis, 02 Okt 2025

Ibu hamil jangan sesekali abaikan catatan dalam buku rekod kesihatan. — Gambar hiasan/Janaan AI

BUKU rekod kesihatan ibu mengandung atau lebih dikenali sebagai buku pink sering disangka sekadar catatan rutin setiap kali janji temu di klinik.

Namun hakikatnya, setiap angka di dalamnya membawa makna besar kerana menjadi petunjuk sama ada ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat atau sebaliknya.

Antara bacaan paling kritikal yang perlu diberi perhatian ialah tekanan darah (BP), paras hemoglobin (HB) dan saringan diabetes ketika hamil (GDM).

BACA LAGI: Imran Aqil kesal 'selfish' demi kejar impian IRONMAN 70.3, pentingnya jujur, komunikasi dalam hubungan suami isteri

BACA LAGI: Nampak remeh, 5 kesilapan bakal raja sehari sering abaikan boleh rosakkan majlis perkahwinan

Rekod kesihatan ibu mengandung penting bagi memantau tahap kesihatan bayi dalam kandungan. — Gambar hiasan

 

1. Tekanan darah (BP)

Tekanan darah tinggi ketika hamil boleh membawa kepada preeklampsia, iaitu komplikasi yang biasanya berlaku selepas minggu ke-20 kehamilan.

Jika tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan sawan, gangguan plasenta dan kelahiran pramatang malah risiko pada nyawa ibu dan bayi.

Tanda-tanda amaran termasuk kenaikan berat badan mendadak, sakit kepala teruk, penglihatan kabur serta sakit di bawah tulang rusuk.

Rawatan biasanya melibatkan ubat, pemantauan rapi, perubahan gaya hidup atau dalam kes serius, kelahiran bayi lebih awal.

- Normal: 90-120 mmHg (sistolik)/ 60-80 mmHg (diastolik)

- Bahaya: Melebihi 140/90 mmHg

2. Paras hemoglobin (HB)

Hemoglobin rendah atau anemia berlaku apabila darah kurang berupaya membawa oksigen mencukupi.

Antara punca utama ialah kekurangan zat besi, asid folik atau vitamin B12.

Simptom awal boleh dikesan menerusi kesan keletihan, pucat, jantung berdebar, pening serta sesak nafas dan jika tidak dirawat, anemia boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang.

Rawatan melibatkan suplemen zat besi, asid folik, serta pemakanan seimbang kaya sumber zat besi seperti sayuran hijau, daging tanpa lemak, ikan, telur dan makanan diperkaya zat besi.

- Normal: >11.0 g/dl (trimester 1 & 3) | >10.5 g/dl (trimester 2)

- HB rendah (Anemia): <11.0 g/dl

3. Diabetes gestasi (GDM)

Isu diabetes boleh meningkatkan risiko bayi bersaiz besar, komplikasi kelahiran, preeklampsia dan masalah diabetes pada ibu selepas bersalin.

Walaupun sering tidak bergejala, ia boleh dikawal melalui perubahan diet, senaman ringan, pemeriksaan berkala dan dalam sesetengah kes, rawatan insulin.

- Ujian MGTT (minggu 24-28):

- Puasa <5.1 mmol/L

*Sejam selepas glukosa <10.0 mmol/L

*Dua jam selepas glukosa <8.5 mmol/L

Justeru, tiga bacaan utama tersebut bukan sekadar catatan dalam buku pink, sebaliknya menjadi penunjuk penting terhadap kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan.

Pemeriksaan berkala, pemahaman terhadap catatan dalam buku pink, serta komunikasi berterusan dengan doktor berupaya membantu mengelakkan sebarang komplikasi serius. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram