Sidang Kemuncak SCO Tianjin, Wan Azizah perkukuh hubungan bersama isteri pemimpin dunia


  • Maya
  • Khamis, 04 Sep 2025

Wan Azizah bertemu ramai isteri-isteri pemimpin dunia sempena Sidang Kemuncak ke-25 Majlis Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di China.

ISTERI Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpeluang menyertai isteri-isteri pemimpin dunia dalam sebuah majlis khas yang dihoskan oleh Peng Liyuan, isteri kepada Presiden China, Xi Jinping di Tianjin, China.

Pertemuan tersebut bersempena Sidang Kemuncak ke-25 Majlis Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang berlangsung selama dua hari sejak Ahad lalu.

Wan Azizah yang mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berkesempatan bertemu dengan isteri-isteri ketua negara dari Turkiye, Iran, Uzbekistan, Azerbaijan, Nepal, Mongolia, Armenia dan Mesir.

BACA LAGI: Selain SARA RM100, ini senarai 4 bantuan khas ibu bapa berkeluarga ramai terlepas pandang

BACA LAGI: 'Suami pernah tercampak keluar kerana beriba', ibu terapkan 3 anak duduk 'car seat' sejak bayi demi keselamatan

Para delegasi turut dibawa menikmati pelayaran di sekitar pelabuhan Tianjin sebagai sebahagian daripada acara rasmi.

 

 

"Alhamdulillah, saya telah hadir bersama isteri-isteri Ketua Negara/Kerajaan dalam majlis yang dihoskan oleh PYT Peng Liyuan, isteri kepada TYT Presiden Republik Rakyat China.

"Saya turut berkesempatan bertemu dengan isteri-isteri Ketua Negara/Kerajaan dari negara Turkey, Iran, Uzbekistan, Azerbaijan, Nepal, Mongolia, Armenia dan Egypt. Kami telah dibawa menaiki cruise bagi menikmati keindahan sekitar Tianjin.

"Peluang mengiringi YAB Perdana Menteri dalam memenuhi jemputan rasmi ke Sidang Kemuncak SCO amatlah bermakna bagi mempererat hubungan dan kerjasama semua negara yang terlibat," katanya di laman Instagram.

 

Undangan khas Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak SCO

Kehadiran Anwar Ibrahim di Tianjin mencatat sejarah kerana beliau merupakan pemimpin Malaysia pertama dijemput secara rasmi ke Sidang Kemuncak SCO meskipun Malaysia bukan negara anggota atau pemerhati tetap.

Jemputan khas itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, termasuk kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Pada 31 Ogos, beliau bersama Wan Azizah turut menghadiri majlis makan malam gala di Tianjin Meijiang Convention Centre yang disertai Presiden Xi Jinping dan Peng Liyuan.

Kehadiran Anwar Ibrahim dan Wan Azizah di Sidang Kemuncak ke-25 SCO memperkukuh imej Malaysia di mata dunia. Ia bukan sahaja mengangkat peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi juga menandakan hubungan erat dengan China serta negara-negara anggota SCO, sekali gus membuka peluang kepada kerjasama serantau yang lebih menyeluruh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram