
ULANG tahun kelahiran anak sering menjadi momen istimewa yang diraikan penuh kasih sayang oleh setiap ibu bapa.
Begitu juga pelakon terkenal, Fattah Amin yang baru-baru ini menitip ucapan penuh bermakna buat puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya bersempena sambutan hari lahirnya.
Dalam ucapan tersebut, Fattah menzahirkan rasa kasih sayang yang tidak pernah berkurang buat anak sulungnya itu.
"Selamat hari lahir anak daddy, Nur Fatima Aisya Binti Abdul Fattah, selama-lamanya anak daddy, Tak pernah sesaat pun kasih sayang daddy berkurang pada Fatima.
"Daddy sentiasa mendoakan Fatima selamanya membesar menjadi orang yang baik, anak solehah kebanggaan daddy.
"I love you so much! See you tomorrow ya, kita celebrate your birthday sama-sama," katanya.
Ucapan penuh emosi itu dikongsikan bintang filem Mat Kilau tersebut menerusi hantaran di media sosial dan kemudiannya menarik perhatian peminat yang terharu dengan keakraban hubungan bersama anaknya.
Sekadar info, Nur Fatima Aisya merupakan cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu Fattah dengan pelakon popular, Nur Fazura.
Bekas juara Hero Remaja 2011/2012 itu kemudiannya mendirikan rumah tangga kali kedua bersama penyanyi Amira Othman dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga serta kenalan rapat industri seni sekitar September lalu.
Perkahwinan mereka mendapat liputan luas ekoran gabungan dua nama besar dalam industri hiburan tanah air yang nyata direstui para peminatnya.
Ucapan ulang tahun yang dikongsi Fattah dalam masa sama turut dibanjiri komen warga maya yang sama-sama menitip doa agar Fatima terus membesar sihat dan menjadi anak yang solehah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram