
LATIHAN ketenteraan bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, tetapi turut menuntut ketahanan mental, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
Tidak ramai yang sanggup menempuh cabaran ekstrem itu namun, ia menjadi bukti kesungguhan serta keteguhan jiwa seseorang yang bergelar pemimpin.
Baru-baru ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyertai latihan asas komando hutan bagi melengkapkan Kursus Komando Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
BACA LAGI: Isteri kecewa suami nekad berhenti kerja tetap alasan nak jadi pemandu e-hailing
BACA LAGI: Cegah sebelum parah, tip pemasangan 'car seat' ikut garis panduan WHO dan JPJ
Menerusi perkongsian di laman sosial, anakanda sulung kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu membuktikan dirinya bukan sekadar pewaris takhta diraja, malah turut berkemampuan menjalani latihan fizikal ketenteraan.
Terdahulu, Tengku Hassanal mencatat sejarah peribadi apabila berjaya melakukan dua kali terjunan pada ketinggian 10,000 kaki di udara.
Baginda difahamkan menyertai Latihan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) bersama peserta Kursus Komando TUDM Siri 32/2025 yang dijadualkan berlangsung selama tiga bulan sejak Julai lalu.
Selain bergiat dalam latihan ketenteraan, Tengku Hassanal turut memegang beberapa peranan penting di Pahang antaranya:
- Pemangku Raja Pahang sejak 2019, ketika ayahanda baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
- Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
- Presiden Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang (MUIP), berperanan menjaga kepentingan agama Islam dan adat istiadat negeri.
Baginda juga dianugerahkan beberapa darjah kebesaran negeri termasuk Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Kelas I (DK I) serta Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).
Di sebalik statusnya sebagai pewaris takhta, Tengku Hassanal sering meraih pujian ramai ekoran keperibadiannya yang cukup merendah diri dan mesra rakyat.
Penyertaan Tengku Hassanal dalam kursus komando itu bukan sahaja membuktikan ketahanan mental dan fizikal baginda, malah menjadi inspirasi buat generasi muda tentang nilai disiplin serta kepimpinan melalui keberanian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram