
PUTERI Leonor, anak sulung kepada Raja Felipe VI dan Ratu Letizia, kini semakin menyerlah sebagai pewaris takhta Sepanyol dengan penglibatan aktif dalam bidang ketenteraan serta acara rasmi kenegaraan.
Dilahirkan pada 31 Oktober 2005 di Madrid, Leonor memegang gelaran Puteri Asturias yang secara tradisi diberikan kepada pewaris takhta.
Sejak ayahandanya menaiki takhta pada 2014, beliau turut menerima beberapa gelaran lain termasuk Puteri Girona, Puteri Viana, Duchess of Montblanc, Countess of Cervera dan Lady of Balaguer.
BACA LAGI: Tak kisah digelar 'Bug Lady', Aida May bantu masyarakat atasi rasa 'eww' pada serangga
Leonor pada 2014 hadir sebagai seorang gadis kecil yang membuat penampilan awam pertamanya. — Instagram/spain_leonor
Leonor memulakan persekolahannya di Sekolah Santa Maria de los Rosales di Madrid.
Menamatkan pengajian menengah di United World College of the Atlantic di Wales pada 2023, Leonor kemudian memulakan latihan ketenteraan tiga tahun di Akademi Ketenteraan Umum Zaragoza.
Latihan itu turut melibatkan akademi tentera laut dan udara, sejajar dengan tradisi keluarga diraja yang menekankan pendidikan ketenteraan untuk pewaris takhta.
Pada ulang tahun ke-18, iaitu 31 Oktober 2023, Leonor mengangkat sumpah taat setia kepada Perlembagaan Sepanyol di Palacio de las Cortes.
Puteri Leonor (kanan) ketika mengangkat sumpah taat setia kepada Perlembagaan Sepanyol pada 2023. — Agensi
Majlis bersejarah itu mengiktiraf beliau secara rasmi sebagai pewaris takhta, diikuti penganugerahan Collar of the Order of Charles III, penghormatan awam tertinggi negara, oleh Raja Felipe VI.
Populariti Leonor kian meningkat, terutama selepas latihan ketenteraannya mencetuskan fenomena 'Leonormania', apabila semakin ramai wanita muda Sepanyol berminat menyertai angkatan tentera.
Beliau turut diberi kepercayaan menyampaikan ucapan pada acara kebangsaan serta mewakili Sepanyol dalam lawatan diplomatik.
Sebagai pewaris yang membesar dalam era digital, Leonor dilihat lebih dekat dengan generasi muda melalui pendekatan matang namun mesra.
Leonor dilihat lebih dekat dengan generasi muda melalui pendekatan matang namun mesra. — Instagram/spain_leonor
Ramai melihat beliau sebagai simbol kebangkitan semula monarki Sepanyol yang sebelum ini terpalit kontroversi era bekas Raja Juan Carlos I.
Sekiranya menaiki takhta kelak, Leonor akan mencatat sejarah sebagai ratu pemerintah pertama Sepanyol sejak era Isabella II (1833–1868), sekali gus melakar peralihan kepada monarki moden yang lebih inklusif gender.
Dengan disiplin, komitmen dan hubungan erat bersama rakyat, Puteri Leonor kini dilihat bukan sekadar pewaris takhta, tetapi wajah baharu monarki Sepanyol yang diyakini mampu membawa institusi itu ke arah lebih stabil dan progresif. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram