
HIDUP Marlina Isa, 43, tidak pernah sunyi daripada tanggungjawab. Beliau adalah contoh generasi sandwich, menjadi penjaga utama kepada kedua-dua ibu bapanya yang uzur, sambil membesarkan tiga anak lelaki.
Bapanya, Mohd Isa Kasiran, 83, menghidap demensia vaskular selepas strok pada 2018 dan semakin lemah akibat siri sawan epilepsi sejak tahun lalu.
Sementara ibunya, Maimunah Abd Hamid, 82, pula berdepan masalah degupan jantung tidak teratur.
Menurut suami Marlina, Mohamad Alfian Ismail, memandikan bapa mentuanya boleh mengambil masa sehingga sejam dan biasanya memerlukan sekurang-kurangnya dua orang untuk membantu.
“Beliau seorang lelaki yang sasa, memang boleh jadi huru-hara nak siapkan ayah,” katanya.
Marlina mengambil cuti tanpa gaji sejak pertengahan tahun lalu untuk memberi tumpuan kepada anak keduanya yang disleksia serta menjaga kedua orang tuanya.
Usahanya ibarat satu 'timbangan' yang memerlukan pengorbanan sepenuh jiwa, namun wanita itu tidak pernah terfikir untuk berundur.
Anak bongsu daripada empat beradik itu membesar dalam keluarga tiga generasi, yang mana datuk dan nenek sentiasa ada bersama.
Ketika abang-abangnya berkahwin dan berpindah, Marlina memilih untuk kekal bersama ibu bapa.
Anak-anak Marlina berkongsi gelak tawa bersama nenek mereka, Maimunah ketika makan tengah hari. — Agensi
“Dapat menjaga mereka sama seperti mereka menjaga kami sewaktu kecil, ia adalah cara saya membalas budi,” katanya.
Beberapa tahun lalu, ketika Marlina dan Mohamad Alfian bekerja sepenuh masa, ibu bapanya sentiasa ada untuk membantu menjaga cucu-cucu.
“Saya rasa anak-anak tak pernah balik ke rumah yang kosong selepas sekolah. Sentiasa ada orang untuk tengok-tengokkan,” ceritanya lagi.
'Tag team'
Sokongan keluarga besar turut meringankan beban, termasuk adik-beradik dan anak saudara yang membantu urusan menghantar bapa ke pusat jagaan atau menemani ibunya ke hospital.
Anak-anaknya juga belajar berdikari, malah sering membantu menyediakan ubat untuk datuk dan nenek mereka.
Anak-anak Marlina, iaitu Ammar Ihsan, 16, dan Hasan, 13, mengingati datuk mereka yang dahulunya pensyarah pertukangan di Institute of Technical Education, pernah membantu menyiapkan projek sekolah dan berbual dalam bahasa Melayu untuk mengasah kefahaman mereka.
Suami Marlina, Mohamad Alfian (kiri) kini berperanan sebagai pencari nafkah tunggal bagi keluarga mereka. — Agensi
Kini tiba giliran mereka membantu. Akmalul Iman, 10, pula kerap menyediakan ubat untuk datuk dan nenek, malah mereka bertiga mengumpul duit tabungan untuk menghadiahkan fon kepala kalis bunyi bagi menenangkan nenek mereka.
Ada kalanya kesabaran Marlina menipis, beliau pernah memarahi anak-anak kerana terasa hati dengan kata-kata kasar ibu bapanya.
“Masa itu peranan ‘tag team’ penting. Apabila dia perlu fokus lebih kepada ibu bapanya, saya ambil alih jaga anak-anak, begitu juga sebaliknya,” ujar Mohamad Alfian.
Sebagai pencari nafkah tunggal, Mohamad Alfian bekerja di sebuah pertubuhan bukan untung.
Jadual kerja yang fleksibel membolehkannya bekerja dari rumah dan menyusun masa agar dapat berkongsi tanggungjawab.
Dari kiri: Akmalul Iman, Adil Hasan and Ammar Ihsan. — Agensi
Sejak awal hubungan, Marlina sudah menetapkan syarat.
“Kalau nak kahwin dengan saya, kena sanggup terima kita akan menjaga ibu bapa saya bersama,” kenang Mohamad Alfian.
Namun, cabaran kewangan tetap terasa. Pasangan itu bergantung pada simpanan dan skim simpanan perubatan nasional, selain bantuan skim kerajaan Singapura seperti Home Caregiving Grant (hingga S$400 dolar Singapura (RM1,306) sebulan, akan dinaikkan ke S$600 (RM1,960) mulai April 2026), Pioneer Generation Disability Assistance Scheme (S$100 atau RM327 sebulan) serta subsidi Home Personal Care.
Cuti tanpa gajinya dijangka tamat Disember ini. Marlina berharap akan ada kelonggaran dalam jadual kerja apabila kembali bertugas.
“Apa yang saya belajar setakat ini ialah anda tak boleh lakukannya seorang diri. Saya sangat bersyukur dengan sokongan besar yang saya dapat,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram