
HASRAT sepasang suami isteri untuk menikmati kehidupan berdua selepas berpindah ke rumah sewa sendiri bertukar menjadi tekanan selepas adik perempuan kepada lelaki berkenaan menumpang tinggal bersama.
Wanita itu berkata, pada awalnya, beliau menolak permintaan tersebut kerana bimbang akan hilang privasi.
Namun ujarnya, atas rasa kasihan kepada adik ipar yang baru menamatkan pengajian dan sedang mencari pekerjaan di bandar, beliau akhirnya bersetuju.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Budak itu bukan anak saya,' ipar maut 'in real life' wujud di Pulau Pinang
“Dia janji cuma nak duduk sebulan dua sahaja tapi sekarang sudah hampir lima bulan.
"Awal-awal tu okey saja, tapi makin lama makin besar kepala,” luah wanita itu menerusi satu perkongsian di Threads pada Isnin.
Menurutnya, antara perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati ialah tabiat adik ipar yang mengambil makanan dan menggunakan barangan dapur serta keperluan rumah tanpa izin.
"Saya memang WFH (work from home) jadi jarang keluar melainkan ada hari kena kerja luar.
"Boleh kata saya selalu ada di rumah. Benda pertama dia buat yang saya marah sangat, dia makan coklat tanpa izin.
"Barang dapur cepat habis, sabun pun tak pernah beli sendiri.
"Mak saya bekalkan kerepek satu balang besar, dalam dua minggu dah tinggal sikit,” katanya.
Lebih mengecewakan, katanya, adik ipar itu tidak menjaga kebersihan rumah.
Kongsinya, setiap kali masuk ke tandas, rambut adik iparnya bersepah di lantai dan kadang-kadang melekat di dinding.
“Sisa makanan pun ditinggalkan dalam sinki. Saya rasa geli dan stres sebab rumah ini ada satu tandas sahaja,” tambahnya.
Situasi bertambah rumit apabila adik ipar berkenaan enggan berpindah walaupun sudah mempunyai rumah sewa sendiri, sebaliknya memberi pelbagai alasan untuk terus menetap di rumah pasangan itu.
Wanita tersebut mendakwa adik iparnya juga tidak pernah menghulurkan duit sewa, walaupun kerap menikmati makanan segera dan tidak mempunyai komitmen lain seperti kereta atau motosikal.
“Dia dah ada teman lelaki tetapi macam itu pula perangainya. Mula-mula duduk dia ada ambil hati kami dengan belanja makan.
"Kami pun tak pernah minta duit sebab kasihan, tapi lama-lama dia makin selesa dan naik kepala.
"Dah rasa macam saya pula yang menumpang rumah sendiri,” katanya.
Luahan itu mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk yang menyarankan wanita berkenaan menetapkan had jelas dengan adik ipar tersebut serta berbincang serius bersama suami untuk mencari jalan penyelesaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram