Murid tak hadir sebab ahli keluarga dimakan buaya, guru kongsi POV 'tak pelik' sebagai pendidik di Sarawak


  • Maya
  • Khamis, 02 Okt 2025

Kes serangan buaya bukanlah sesuatu yang asing di Sarawak. — Gambar hiasan

BAGI pendidik di pedalaman Sarawak, punca murid tidak hadir ke sekolah adakalanya boleh menjadi alasan yang sukar dijangka.

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang individu memuat naik tangkap layar memaparkan mesej daripada salah seorang penjaga, yang memaklumkan sebab anaknya terpaksa ponteng sekolah.

Menurut mesej tersebut, anaknya yang disebut sebagai Finelson tidak dapat hadir disebabkan adik penjaga itu maut dipercayai akibat diserang buaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki putus tangan diserang buaya, SFC sahkan kejadian bukan di Sarawak

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja lelaki hilang, rakan dakwa dibaham buaya ketika memancing di Kuching

Tangkap layar memaparkan mesej daripada penjaga berkenaan, yang memaklumkan sebab anaknya terpaksa ponteng sekolah.

Penjaga itu turut memohon maaf kerana lewat memaklumkan ketidakhadiran anaknya, berikutan kekangan liputan internet di kampung mereka.

"Selamat petang cikgu, minta maaf lambat beritahu, Finelson tidak hadir sebab adik saya kena makan buaya hari itu.

"Di kampung tidak ada line (liputan internet) cikgu," tulisnya.

Penjaga turut memaklumkan, anaknya dijangka hadir ke sekolah pada keesokan hari kecuali jika perlu menguruskan pengebumian adiknya.

"Esok (Finelson) ada turun sekolah (tapi) kalau mayat adik saya keluar dari hospital, tidak sekolah dia nanti," maklumnya.

Guru berkenaan berkongsi pengalaman itu sebagai sebahagian daripada realiti kehidupan pendidik di kawasan pedalaman Sarawak, yang mana alasan ketidakhadiran murid sering kali berkait dengan kejadian tragis yang sukar dibayangkan masyarakat luar.

Kes serangan buaya bukanlah sesuatu yang asing di Sarawak. Malah, hampir setiap tahun terdapat laporan melibatkan kehilangan nyawa penduduk kampung akibat reptilia berbahaya itu, khususnya di kawasan sungai besar dan hutan paya bakau.

Jabatan Hidupan Liar Sarawak sebelum ini mengklasifikasikan sungai-sungai tertentu sebagai 'zon hitam' kerana populasi buaya yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko serangan terhadap manusia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram