[VIDEO] 'Tak fasih Jepun pun boleh mengajar', wanita kongsi pengalaman jadi guru bahasa Inggeris di Osaka, 'culture shock' tengok pengetua mop lantai sekolah


  • Sukses
  • Isnin, 08 Sep 2025

Naara berkongsi pengalaman kerja sebagai guru warga asing di Jepun.

BAGI seorang wanita Indonesia, Naara, pengalaman bekerja sebagai guru di Osaka, Jepun membuka banyak mata dan memberi perspektif baharu tentang dunia pendidikan serta budaya kerja negara matahari terbit itu.

Naara, yang berkongsi kisahnya di media sosial mengakui tidak menyangka boleh menjadi guru bahasa Inggeris di Jepun walaupun kemahiran bahasa Jepunnya hanya pada tahap asas (sekadar N5). 

“Kalau bukan kerana pengalaman ini, aku tak tahu bahawa jadi guru di Jepun tak semestinya harus fasih bahasa Jepun,” katanya.

BACA LAGI: 'Doktor gagal kesan denyutan jantung twin A, twin B berpusing dalam rahim', ibu kongsi detik cemas ketika bersalin kembar

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

Menurut Naara, gaji permulaan sebagai guru di Jepun boleh dikatakan mencukupi walaupun tidak terlalu tinggi. 

Namun, suasana kerja yang kondusif membuatkan pengalaman itu sangat berbaloi.

Naara berkata, budaya sekerja di sekolah cukup bertoleransi. 

"Malah, guru beragama Islam seperti saya dibenarkan request ruangan untuk tunaikan solat," katanya. 

Budaya kerja di Jepun juga meninggalkan kesan mendalam pada dirinya. 

Naara menyebut tentang nomikai iaitu majlis makan atau minum bersama rakan sekerja yang menjadi detik untuk mengeratkan hubungan. 

Bagaimanapun, sebagai Muslim, beliau hanya memesan minuman tanpa alkohol kerana makanan mesra Muslim agak sukar didapati.

Apa yang lebih menarik, Naara menekankan bahawa kerjaya sebagai guru warga asing di Jepun tidak menekan amalan Zangyou (kerja lebih masa atau overtime). 

"Guru di Jepun memang amalkan zangyou, tetapi guru warga asing kerja maksimum 8 jam sahaja, no overtime," katanya. 

Umum mengetahui bahawa di Jepun, zangyou sudah menjadi budaya kerja di banyak sektor sehingga ramai pekerja terpaksa pulang lewat malam. 

Namun, bagi guru warga asing sepertinya, keadaan ini tidak berlaku. 

Malah, guru di Jepun dibenarkan memohon cuti hamil, cuti bersalin dan cuti menjaga anak tanpa tekanan daripada pihak sekolah.

“Kerjanya tak buatkan jadi stres. Kebanyakan masa kita seronok dengan murid-murid.

"Cuma jadual memang padat kerana setiap bulan mesti mengajar di lebih daripada dua sekolah, biasanya sekolah menengah pertama dan sekolah rendah,” jelasnya.

Melalui papan kenyataan bahasa Inggeris (English board), Naara juga berpeluang memperkenalkan budaya Indonesia termasuk filem-filem negara asalnya kepada pelajar Jepun.

Naara berkata, satu lagi perkara yang mengagumkan ialah budaya kebersihan di sekolah yang menetapkan setiap individu untuk turut serta membersihkan kawasan sekolah. 

“Semua orang, dari pengetua sampai murid, sama-sama bersihkan sekolah. Tak ada istilah pekerja pembersihan atau OB (pembantu am secara khusus untuk bersihkan) macam di tempat kita.

"Saya mula-mula rasa culture shock bila pengetua mengemop seluruh bangunan sekolah.

"Semasa pelajaran formal bermula, pengetua mula mengemop sambil menyelia aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.

Bagi Naara, pengalaman ini bukan sahaja mendidiknya sebagai seorang guru, tetapi juga sebagai individu yang belajar menghargai budaya disiplin, kerja berpasukan dan toleransi di Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram