[VIDEO] Remaja lelaki hilang, rakan dakwa dibaham buaya ketika memancing di Kuching


  • 112
  • Sabtu, 23 Dis 2023

Tangkap layar kejadian hilang membabitkan remaja lelaki yang dipercayai dibaham buaya di sungai berdekatan Samariang Aman, Kuching, Sarawak.

MALANG menimpa nasib seorang remaja lelaki apabila dilaporkan hilang dipercayai akibat dibaham buaya ketika memancing di sungai berdekatan Samariang Aman, Kuching, Sarawak pada petang Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar pukul 4.27 petang dan mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Kuching ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat daripada rakannya, mangsa yang berusia 15 tahun itu didakwa dibaham buaya.

"Menurut Komander Operasi, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya sedang memancing di sungai Samariang Aman sebelum disambar buaya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, kejadian itu disaksikan sendiri oleh rakan mangsa.

"Rakannya mengesahkan bahawa remaja terbabit telah disambar sebelum dibawa ke hulu sungai.

"Sehingga kini, operasi pencarian mangsa sedang giat dijalankan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram