[VIDEO] Lelaki putus tangan diserang buaya, SFC sahkan kejadian bukan di Sarawak


  • 112
  • Rabu, 10 Jan 2024

Tangkap layar seorang lelaki putus tangan akibat serangan seekor buaya liar di Desa Delas, Kecamatan Air Gegas, Bangka Selatan, Indonesia.

INSIDEN serangan buaya yang tular di laman media baru-baru ini disahkan bukan berlaku di Sarawak seperti didakwa warga maya.

Perkara itu disahkan Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi satu kenyataan yang menegaskan bahawa kejadian tersebut terjadi di Desa Delas, Kecamatan Air Gegas, Bangka Selatan, Indonesia.

"Untuk makluman, penyebaran video tersebut telah mencetuskan rasa panik dan kebimbangan orang awam.

"Penyebaran yang tidak berasas itu boleh menjejaskan ekonomi komuniti tempatan," katanya.

SFC menegaskan keprihatinan pihaknya apabila diberitahu tentang kewujudan hidupan liar yang berbahaya di kawasan-kawasan tertentu dan akan meletakkan notis pemberitahuan tentang perkara itu.

"Pegawai-pegawai penguat kuasa SFC sentiasa bersedia untuk sebarang tindakan atas maklumat yang diterima daripada orang awam," tambahnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Remaja lelaki hilang, rakan dakwa dibaham buaya ketika memancing di Kuching

Dalam pada itu, Kontroler Hidupan Liar Sarawak memberi peringatan kepada orang awam bahawa adalah menjadi satu kesalahan sekiranya menyeksa serta melakukan kekejaman terhadap mana-mana haiwan liar terutama haiwan yang terlindung sepenuhnya di Sarawak.

"Mengikut Seksyen 44, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998, sesiapa yang didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut, boleh dipenjara enam bulan dan denda sebanyak RM2,000.

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak sampai 4 hari, seekor lagi buaya ditembak mati di Lahad Datu

Oleh yang demikian, pihak SFC menyeru semua rakyat di Sarawak untuk tidak membuat sebarang penyebaran video yang tidak relevan.

Mereka yang aktif di media sosial digesa agar lebih berhati-hati apabila berkongsi video-video tertentu dan amalkan sikap 'tidak pasti jangan kongsi'.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah hidupan liar, diminta menyalurkan maklumat segera ke SFC melalui talian: Kuching (019 8859996)/Sibu (019 8883561)/Bintulu (019 8332737)/Miri (019 8290994) atau ke e-aduan di laman web www.sarawakforestry.com. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram