[VIDEO] Doktor dari Kedah raih 5 angka sebulan, membimbing orang ramai jana pendapatan melalui produk digital 


  • Sukses
  • Isnin, 29 Sep 2025

Bagi Dr. Anis Nadhilah, mengurus bisnes bukan sekadar soal menjana keuntungan, tetapi menuntut disiplin luar biasa dalam membahagikan masa, mengurus pasukan dan mengekalkan momentum di media sosial. — Instagram/anysnadhilah

BAGI kebanyakan insan, perjalanan hidup sering terikat pada satu laluan tetap. 

Namun bagi Dr. Anis Nadhilah Abd Rahaman, 31, setiap persimpangan adalah peluang baharu untuk membina makna dan nilai dalam kehidupan.

Dilahirkan pada 1994 dan dibesarkan di Bumi Jelapang Padi, Dr. Anis Nadhilah menjejakkan kaki ke alam pendidikan tinggi di Perak selama dua tahun setengah sebelum menyambung pengajian perubatan di International Medical School (IMS)-Management and Science University (MSU) Bangalore, India. 

Pulangnya ke tanah air menjadi titik mula beliau berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan selama lima tahun.

BACA LAGI: Tak kisah digelar 'Bug Lady', Aida May bantu masyarakat atasi rasa 'eww' pada serangga

BACA LAGI: Yuna rancak usahakan perniagaan Tiny Forest, fokus hiasan terrarium bersama ibu

Dr. Anis Nadhilah ketika berkhidmat sebagai pengamal perubatan di sektor awam.

Di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah wanita itu memulakan latihan sebagai doktor pelatih dari 2019 hingga 2021, sebelum berkhidmat di klinik kesihatan dan seterusnya di Hospital Pendang sebagai pegawai perubatan tetap. 

Di sebalik kesibukan jadual yang sarat dengan tugasan klinikal, anak kedua daripada tiga beradik itu turut menjalankan perniagaan produk digital.

Segalanya bermula dengan langkah kecil di sebuah platform perdagangan dalam talian sekitar 2020, yang mana beliau menjual produk digital pertama berbentuk perancang (planner). 

Dari situ, ia berkembang menjadi e-buku, templat rekaan, sehinggalah ke helaian digital (spreadsheet), semuanya direka sendiri berasaskan kajian teliti terhadap permintaan pasaran. 

Menurutnya, tanpa disangka, jualan yang konsisten di platform itu mampu menghadiahkan pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

Kejayaan itu menjadi titik lonjakan buat Dr. Anis Nadhilah. Saat salah satu videonya di TikTok tular pada 2021, memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor yang juga usahawan, ribuan mata tertumpu kepadanya. 

Dr. Anis Nadhilah (tudung biru, berdiri) ketika menyambung pengajian perubatan di IMS-MSU Bangalore, India.

Ramai ingin tahu rahsia bagaimana seorang wanita yang acap kali sibuk mengurus pesakit, mampu membina pendapatan sampingan kukuh melalui produk digital. 

Dari situlah lahirnya satu lagi cabang rezeki, kelas bimbingan dan sesi latihan untuk membantu individu lain melangkah masuk ke dunia perniagaan dalam talian.

“Awalnya saya fikir jualan produk digital ini sekadar kerja sampingan, tapi apabila bisnes makin berkembang, saya tahu saya perlu memilih. 

"Saya tidak mampu memikul semua sekali gus. Akhirnya saya pilih untuk memberi tumpuan penuh pada bisnes,” kongsinya kepada Majoriti.

Halangan

Keputusan meninggalkan kerjaya tetap di sektor kerajaan bukanlah langkah yang mudah bagi Dr. Anis Nadhilah.

Ibunya seorang guru, terbiasa dengan dunia perkhidmatan awam yang kukuh, pencen dan faedah yang jelas. 

“Banyak kali saya luahkan kepada mak secara berlapik yang saya penat, burn out, rasa tak mampu nak pikul kerja hospital dan bisnes serentak. 

"Namun mak tetap teguh dengan prinsipnya kerja kena diteruskan,” katanya menambah keputusan itu bagaimanapun disokong suami yang sentiasa berperanan sebagai pendengar setia.

Dr. Anis Nadhilah mengadakan kelas bimbingan dan latihan untuk membantu individu lain melangkah masuk ke dunia perniagaan dalam talian.

Keputusan besar itu akhirnya dibuat, ibu seorang anak itu melepaskan jawatan tetapnya, memilih dunia bisnes digital sepenuh masa, sambil berkhidmat sebagai doktor locum secara sambilan di klinik swasta. 

Ironinya, berita tentang tindakan itu hanya dimaklumkan kepada ibunya selepas seminggu berlalu.

“Mak memang sentiasa cuba melindungi saya. Jadi kalau beritahu awal, pasti beliau tidak benarkan. 

"Namun Alhamdulillah, lepas saya dah betul-betul berhenti, mak tetap tunjukkan sokongan,” bicaranya tersenyum.

Belajar

Hari ini, pertaruhan wanita kelahiran Pokok Sena, Kedah itu nyata membuahkan hasil. 

Sejak mula berkongsi ilmu jualan produk digital di platform jualan, beliau telah membimbing lebih 10,000 pelajar. 

"Jika dahulu biasanya saya akan buat sesi siaran langsung interaktif selama dua jam.

"Kini saya gunakan kaedah rakaman video dengan bahan sokongan seperti workbook dan helaian kerja.

"Bahan yang disediakan untuk setiap kelas Insya-ALLAH membuka jalan baharu kepada mereka yang mahu menjana pendapatan dalam dunia digital," ceritanya yang meraih sekitar RM50,000 hingga RM60,000 sebulan hasil usaha konsisten dalam pemasaran di media sosial.

Jika di hospital, cabaran seorang doktor terletak pada menyelamatkan nyawa, di dunia bisnes pula, cabarannya adalah memastikan ia relevan, konsisten dan terus bertahan.

Bagi Dr. Anis Nadhilah, mengurus bisnes bukan sekadar soal menjana keuntungan, tetapi menuntut disiplin luar biasa dalam membahagikan masa, mengurus pasukan dan mengekalkan momentum di media sosial.

Beliau turut menyertai program pengajian dalam bidang perubatan estetik yang ditawarkan oleh MAHSA University. — Instagram/anysnadhilah

Beliau sempat berkongsi antara momen sukar yang masih melekat di ingatan, berlaku pada kelas pertamanya. 

Ujarnya, dengan penuh semangat, beliau bercerita tentang latar belakang, perjuangan dan kepayahan membina kerja sampingan di sebalik kesibukan sebagai doktor. 

Reaksi salah seorang pelajar bagaimanapun membuatkan dirinya tergamam.

“Pelajar tersebut minta saya terus ke bahagian teknikal, katanya tak perlu cerita panjang pasal pengalaman bagai. 

"Masa tu saya rasa sangat down, macam semangat saya disiram air sejuk. Saya menitiskan air mata depan lebih 100 pelajar. 

"Sampai sekarang masih ada pelajar yang ingat momen itu,” ujarnya yang menamatkan program pengajian dalam bidang perubatan estetik yang ditawarkan oleh MAHSA University baru-baru ini. 

Dari linangan air mata di kelas pertama, hinggalah ke fasa jatuh bangun mengimbangi kerjaya perubatan dan bisnes, perjalanan Dr. Anis Nadhilah membuktikan kejayaan bukan hadir tanpa ujian. 

Di setiap cabaran itu baginya, hanyalah batu loncatan menuju kejayaan yang lebih matang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram