'Banyak je cara menyimpan, boleh guna konsep 6-2-1-1', perunding kewangan nasihat anak muda elak berhutang semata mahu ikut trend


  • Massa
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Rakyat Malaysia khususnya generasi muda dan ibu bapa dinasihatkan untuk membuat simpanan wang secara konsisten. — Gambar hiasan/Agensi

REALITI negara berdepan dengan krisis kewangan tidak dapat dielakkan lagi apabila Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memberi amaran awal kepada seluruh rakyat.

Ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur, orang ramai disarankan mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan.

Namun, kaji selidik dilakukan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) pada Januari lalu mendedahkan bahawa 84 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan tetap setiap bulan.

BACA LAGI: Elak guna bahasa rojak, DBP galak anak muda berbangga guna bahasa kebangsaan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Macam main video game', sistem VR bukan setakat bantu pelajar, mampu juga tingkat kemahiran pekerja binaan di Malaysia

6314276201081979014 (1)

Kebanyakan rakyat Malaysia masih belum mampu mempunyai wang simpanan. — Gambar hiasan/Agensi

Kaji selidik setiap tiga tahun itu juga mendapati 27 peratus rakyat yang bekerja sangat bimbang dengan kemampuan membiayai perbelanjaan hidup pada hari tua.

Lebih parah lagi apabila laporan tersebut mendedahkan hanya 20 peratus rakyat dewasa bekerja di negara ini mampu menampung perbelanjaan hidup bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan jika hilang sumber pendapatan kerana tiada simpanan yang cukup atau tabung kecemasan.

Bimbang dengan situasi itu, perunding kewangan, Muhammad Nasri Nasir, 29, mengambil peluang untuk memberi kesedaran kepada orang ramai

Menurutnya, kebanyakan masyarakat Malaysia berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun gagal membuat simpanan kecemasan dan menguruskan wang dengan baik.

Muhammad Nasri berkata, terdapat pelbagai faktor perkara tersebut boleh berlaku.

Antaranya adalah disebabkan amalan atau sikap gemar memilih membuat pembelanjaan sama ada untuk keperluan diri atau membayar komitmen terlebih dahulu selepas baru menerima gaji.

Mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pengurusan kewangan, Muhammad Nasri menyatakan bahawa 95 peratus individu mengakui perkara tersebut.

"Mereka kebanyakannya tak tahu nak utamakan yang penting. Bila terima sahaja gaji, terus bayar komitmen dan belanja dahulu.

"Dan bila ada lebih baru mereka simpan, kalau tiada lebih maka, tunggulah gaji bulan depan.

"Ini sangat mengecewakan sebab kita tengok ada yang umur 35 tahun pun masih tiada simpanan," katanya kepada Majoriti.

6314276201081979012 (1)

Muhammad Nasri menyarankan agar masyarakat mampu menyimpan wang dengan konsisten.

Berkongsi lanjut, generasi muda sekarang juga ramai yang mudah terpengaruh dengan trend mempunyai gaya hidup mewah sekali gus memerangkap mereka dalam gelombang hutang.

Katanya, ia sangat membimbangkan kerana boleh menjejaskan kehidupan sosial mereka lebih-lebih lagi apabila tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Ada sesetengah mereka berumur 18 tahun yang saya pernah tanya, hari pertama kerja sahaja dia dah fikir jenis telefon pintar apa nak dibeli dan cara macam mana mereka nak beli.

"Mereka hanya akan mula menyimpan kalau nak beli sesuatu, kalau tak berjaya, dia akan cuba berhutang pula.

"Jadi, saya sarankan kepada anak-anak muda di luar sana sekurang-kurangnya ada simpanan untuk enam bulan gaji," katanya.

Antara faktor lainnya adalah masih ramai masyarakat di negara ini kurang daya saing untuk mencari kerja tambahan.

Rentetan itu, Muhammad Nasri menyarankan untuk lebih ramai menyimpan secara potongan gaji.

Baginya, terdapat banyak instrumen atau platform kewangan yang mempunyai fungsi tersebut seperti di Tabung Haji.

"Bagi saya itu lebih efektif sebab kalau duit simpanan kita terus tolak daripada gaji, ia akan jadi rutin berterusan setiap bulan.

"Bukan itu sahaja, mereka juga boleh beli aset sebagai pelaburan seperti emas untuk kegunaan waktu kecemasan, nanti boleh dipajak sementara," jelasnya.

6314276201081979010

Ibu bapa digalakkan untuk membuat simpanan awal sebagai jaminan buat anak-anak.

Berkesempatan berkongsi kisah yang boleh dijadikan sebagai inspirasi, Muhammad Nasri berkata, seorang rakannya berjaya menyimpan lebih RM200,000 hasil daripada membuat simpanan sejak berumur 29 tahun lagi.

Katanya, hanya bermula dengan gaji RM1,500, rakannya itu akan menyimpan RM200 setiap bulan sehingga boleh mencecah RM700 sebulan dan memang akan tahan nafsu berbelanja.

Kata Muhammad Nasri, amalan tersebut perlu diterapkan dalam diri setiap individu sebagai perlindungan di masa hadapan.

Mengulas pula tentang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Muhammad Nasri tidak menafikan ia satu medium bagus untuk dibuat sebagai tempat penyimpanan wang.

"Ada baik dan buruknya lebih-lebih lagi bila kerajaan sebelum ini benarkan pencarum keluarkan wang simpanan melalui Akaun 3 atau dikenali sebagai Akaun Fleksibel.

"Tetapi, kita perlu ingat bahawa wang itu tidak digalakkan untuk dihabiskan secara terus dan hanya guna bila betul-betul berdepan dengan waktu kecemasan.

Simpanan untuk anak

6314276201081979011 (1)

Muhammad Nasri yang membuat simpanan untuk anak-anaknya selepas 14 hari dilahirkan.

Muhammad Nasri pada masa sama menyarankan kepada seluruh ibu bapa untuk membuat simpanan awal untuk anak selepas 14 dilahirkan.

Bapa kepada dua anak itu berkata, langkah sama turut diaplikasikan dalam keluarganya dan menggunakan konsep enam, dua, satu dan satu.

"Konsepnya adalah gunakan 60 peratus bayar komitmen, 20 peratus buat simpanan, satu peratus perindungan dan selebihnya pelaburan.

"Anak saya pula masih kecil, sulung tiga tahun manakala kedua umur setahun, jadi sementara mereka belum ada komitmen besar, buat sahaja simpanan untuk mereka

"Ibu bapa sekarang perlu lebih celik ilmu tentang pengurusan kewangan terutamanya untuk pendidikan anak-anak.

"Supaya bila mereka dah besar, nak belajar pun senang atau tak perlu buat hutang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram