'Macam mana kalau saya tiada lagi di dunia ini?' ibu bimbang nasib, masa depan anak tunggal tanpa adik-beradik di sisi


  • Bonda
  • Rabu, 24 Sep 2025

Sebagai ibu bapa kepada anak tunggal, dilema terbesar adalah memastikan mereka tidak merasa keseorangan dalam menempuh kehidupan.

HIDUP sebagai anak tunggal sering menimbulkan persoalan yang tidak mudah dijawab.

Di satu sisi, mereka menikmati perhatian penuh daripada ibu bapa, namun sisi lain wujud rasa kosong tanpa kehadiran adik-beradik untuk berkongsi suka dan duka.

Hakikat tersebut menjadi perbincangan dalam kalangan warga maya baru-baru ini apabila seorang ibu meluahkan kebimbangan tentang masa depan anak tunggal beliau.

BACA LAGI: Wangian semula jadi, bau bayi baru lahir rangsang deria ibu bapa, ikatan kasih sayang lebih utuh

BACA LAGI: Cerai talak 3, Siti Jamumall dan bekas suami temui titik damai, mahu besarkan anak cara baik

"Sedihnya tengok anak sendiri, anak tunggal. Macam mana kalau nanti dia ada masalah, saya pula tak ada di dunia ni. Siapa nak tolong dia?" tulisnya dalam hantaran yang dibuat pada Isnin sambil meminta warga maya untuk turut berkongsi pengalaman sebagai anak tunggal.

"Saya anak tunggal setelah ayah dan adik pergi buat selamanya ketika saya berusia 17 tahun. Memang sangat perit, tapi Alhamdulillah saya mampu melalui fasa hidup ini. Dah biasa sorang-sorang, chill je, ALLAH ada," kata @sashassans yang juga ibu kepada tiga orang anak itu.

Bagi @_haziqammar, pengalaman itu lebih membentuk kekuatan diri.

"Saya pun anak tunggal. Rasa anak tunggal lagi kuat daripada yang ada adik-beradik. Lebih berdikari dan mudah bawa diri. Saya okey je, dah hampir 40 tahun dan janji bahagia,” katanya.

Namun, ada juga yang menekankan sisi emosi.

"Dari segi emosi hanya anak tunggal yang faham. Kita tak ada kawan untuk kongsi masalah kalau melibatkan ibu bapa. Terpaksa cari sepupu, tapi belum tentu mereka mampu simpan rahsia," ujar @noor.adrina.

Selain itu, @nbla.abd memberi peringatan tentang beban tanggungjawab.

"Anak tunggal biasanya ada sense of survival sendiri. Tapi dari segi kewangan, minta untuk lebih bersedia. Kalau ibu bapa sejenis yang tidak fikir masa depan, kesian anak tunggal kena tanggung beban sorang bila nak mula hidup.

"Jangan biarkan dia terpaksa lepaskan impian dan jadi sandwich generation (golongan dewasa yang terhimpit dengan tanggungjawab kewangan dan penjagaan dua generasi sekali gus),” tulisnya.

Beliau turut menekankan keperluan sokongan berterusan daripada ibu bapa walaupun selepas anak berkahwin.

"Apabila sampai tahap anak nak berkahwin, ibu bapa perlu berdiri di pihaknya kalau rasa perjanjian antara dua keluarga nampak berat sebelah. Jangan pula buat anak rasa bersalah kalau dia jarang balik rumah sebab sibuk dengan kerja atau komitmen lain.

"Sebagai ibu, carilah hobi atau aktiviti baharu. Pada saya, memang sangat penting ada peneman di usia tua," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram