'Mak jangan terkejut, kakak mungkin ada kanser', 24 kali jalani kimoterapi, bakal guru lawan sakit tamat pengajian


  • Sukses
  • Selasa, 30 Sep 2025

Keadaan fizikal Nur Syahidatunnajwa (dua dari kanan) kini beransur pulih, meskipun perlu berjaga-jaga selepas setiap sesi rawatan.

KISAHNYA pernah tular kira-kira dua bulan lalu. Meski menghidap kanser limfoma tahap empat, Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim, berjaya menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menerusi video tular yang dikongsikan, seisi dewan berdiri memberi tepukan gemuruh saat nama wanita berusia 24 tahun itu dipaparkan di pentas konvokesyen IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang pada 30 Jun lalu.

Berkongsi perkembangan terkini kepada Majoriti, Nur Syahidatunnajwa berkata, beliau masih perlu menjalani rawatan kemoterapi menggunakan ubat khas, sebulan sekali.

BACA LAGI: 'Suami sumber kekuatan,' wanita hidap kanser paru-paru tahap 4, bertarung lebih 10 tahun jalani rawatan

BACA LAGI: [VIDEO] Ambil masa setahun turun berat badan, rahsia penampilan 'fit' Siti Nurhaliza buat ramai wanita terinspirasi

Keadaan kesihatannya kini, ujar Nur Syahidatunnajwa mula menunjukkan perubahan positif berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun buat masa ini, segala kos rawatan perlu ditanggung sendiri memandangkan beliau belum mula bertugas secara rasmi sebagai pendidik.

“Saya perlu beli sendiri sebab hospital tidak bekalkan ubat ini.

"Kalau ikut asalnya tiga minggu sekali, tapi sebab kosnya sangat tinggi dengan satu botol berharga RM1,665, jadi saya minta doktor tetapkan sebulan sekali,” katanya.

Setakat ini, anak sulung daripada tiga beradik itu telah melalui lebih 24 sesi kemoterapi, selain 15 sesi radioterapi yang pernah dijalankan di Pulau Pinang pada 2021.

Nur Syahidatunnajwa sebem ini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah.

Badan susut

Menurut Nur Syahidatunnajwa, sejak di sekolah menengah lagi beliau dikenal pasti sebagai pembawa talasemia dan pernah mengalami anemia ketika di tingkatan empat.

Selepas melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah di IPG, keadaan kesihatan gadis itu masih baik.

Namun, ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2020, beliau mula berdepan tekanan emosi susulan kehilangan bapa serta beban tugasan pengajian secara dalam talian.

“Saya terlalu stres waktu itu dan mungkin tak pandai nak uruskan masa. Makan pun mak kena paksa, badan rasa lemah.

"Saya mula masuk hospital sebab anemia dan perlu menerima darah,” kongsinya.

Menjelang pertengahan 2021, simptom yang dialami semakin ketara.

Jelas Nur Syahidatunnajwa, berat badannya semakin menyusut, mudah pening, muncul ruam merah di tengkuk, batuk berpanjangan hingga berdarah selain mengalami demam berulang setiap petang.

Nur Syahidatunnajwa ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Batuk saya lain daripada biasa. Sampai tak boleh tidur malam, kena sandar pada bantal tinggi hingga dan saya juga perasan ada benjolan di leher.

"Namun ketika itu saya masih fikir tiada apa-apa, lebih pentingkan kelas dalam talian sebab risau kena ulang semester jika tidak lulus peperiksaan,” jelasnya.

Anak jati Baling, Kedah itu bagaimanapun memutuskan untuk ke klinik selepas mengalami sesak nafas yang semakin teruk selain kakinya mula membengkok.

“Saya risau sebab kaki kanan mula bengkok, badan semakin lemah. Apabila doktor ambil darah, bacaan turun sehingga enam.

"Di hospital, saya cuba makan tapi muntah semula di depan doktor. Doktor mula mengesyaki ia berkaitan dengan masalah lebih serius,” ungkapnya.

Najwa kemudian dimasukkan ke Hospital Baling sebelum dirujuk ke Hospital Kulim bagi pemeriksaan lanjut.

Hasil biopsi mengesahkan terdapat ketumbuhan di kawasan kelenjar.

“Lepas dapat tahu, saya telefon mak. Saya kata nak beritahu sesuatu, 'mak jangan terkejut, kakak mungkin ada kanser.

"Saya dengar bunyi mak seperti jatuh terduduk sebab terlalu terkejut. Ketika itu mak menangis dan saya pun ikut sama menangis. Mujur adik saya yang kuatkan semangat,” ceritanya sebak.

Nur Syahidatunnajwa mengakui saat menerima berita tersebut adalah paling sukar dalam hidupnya, terutama selepas keluarganya masih berduka dengan kehilangan bapa akibat kegagalan buah pinggang pada Mei 2020.

Keluarga adalah sumber kekuatan buat Nur Syahidatunnajwa (depan) untuk melawan penyakitnya.

“Sedih itu memang ada, tapi saya pilih untuk terus berjuang.

"Saya percaya doa dan sokongan keluarga, rakan serta pensyarah banyak membantu saya kuat sehingga ke hari ini,” ujarnya yang kini menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah.

Walaupun masih menjalani rawatan, beliau yang memiliki 12 ekor kucing mengisi masa dengan kerja sambilan seperti mengajar al-Quran dan bahasa Arab, sementara menunggu penempatan guru.

Beliau menambah, keadaan fizikalnya kini beransur pulih, meskipun perlu berjaga-jaga selepas setiap sesi rawatan.

"Kalau tengok fizikal, mungkin 60 peratus seperti orang sihat. Cuma lepas masuk ubat, ada kesan sampingan.

"Saya tak boleh terlalu lasak, tak boleh dekat sangat dengan kucing atau habuk sebab badan masih sensitif. Selepas dua atau tiga hari, baru kembali stabil,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram