ISU rambut gugur selepas bersalin merupakan antara masalah paling biasa dialami wanita, tetapi sering disalah tafsir dengan fahaman mitos.
Segelintir pihak percaya ia tanda bayi sedang mula tumbuh gigi, sedangkan hakikatnya ia berkait rapat dengan perubahan hormon ketika fasa selepas bersalin.
Lazimnya dalam kalangan masyarakat Melayu, situasi tersebut dipercayai berkait rapat dengan perkembangan bayi yang sedang dalam mahu tumbuh gigi.
BACA LAGI: 'Turning point kembali kepada ALLAH', Mia Ahmad kongsi cabaran besarkan anak sulung autisme
Pakar perunding laktasi ibu hamil, Dr. Choo Eeleng menjelaskan, fenomena rambut gugur selepas melahirkan anak ataupun postpartum hair loss adalah proses fisiologi normal yang berpunca daripada perubahan hormon estrogen, bukan kerana pertumbuhan gigi bayi.
Menurutnya, semasa kehamilan paras estrogen akan meningkat dan memanjangkan fasa pertumbuhan rambut sekali gus menyebabkan rambut kelihatan lebih tebal dan berkilat.
Namun usai bersalin, paras estrogen kembali menurun secara mendadak, lalu menyebabkan lebih banyak rambut memasuki fasa rehat (telogen) yang mengakibatkan masalah keguguran.
Situasi itu biasanya terjadi dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas kelahiran dan boleh berlarutan antara enam hingga 12 bulan.
Bila perlu berjumpa doktor?
Walaupun ia merupakan fasa normal, golongan ibu disarankan mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom berikut:
- Berlanjutan lebih daripada 12 bulan.
- Meninggalkan kesan terlalu teruk atau tompokan botak.
- Disertai simptom lain seperti keletihan melampau, turun naik berat badan dan kemurungan.
Menurut kajian agensi, keadaan seperti disfungsi tiroid selepas bersalin (postpartum thyroiditis), kekurangan nutrisi (zat besi, vitamin D, vitamin B) atau tekanan kronik boleh memburukkan lagi masalah keguguran rambut.

Ramai menganggap isu keguguran rambut berpunca akibat pertumbuhan gigi anak. — Gambar hiasan/Agensi
Faktor penyusuan dan tekanan
Hormon prolaktin yang tinggi semasa menyusukan anak juga dikatakan boleh memanjangkan tempoh rambut gugur bagi sesetengah ibu.
Selain itu, paras kortisol yang meningkat akibat stres selepas bersalin turut menjejaskan kitaran rambut.
Antara langkah yang boleh membantu menyelesaikan isu tersebut termasuklah:
- Mengambil nutrisi yang menyokong pertumbuhan rambut seperti protein, biotin, vitamin E, zink dan zat besi.
- Mengurus tekanan melalui rehat dan sokongan emosi.
- Mengurut kulit kepala bagi melancarkan peredaran darah.
- Mengurangkan penggunaan alat haba seperti straightener atau curler rambut.
Rambut gugur selepas bersalin adalah fenomena normal yang bersifat sementara dan berpunca daripada perubahan hormon, bukannya kerana bayi sedang tumbuh gigi.
Dengan penjagaan yang betul, keadaan itu akan pulih secara beransur-ansur namun, sekiranya berlarutan atau disertai gejala kesihatan lain, pemeriksaan lanjut diperlukan bagi mengelak masalah lebih serius. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
