
"SAYA rasa bersyukurnya bila kita dapat tutup aurat sebab secara automatik diri kita rasa terpelihara".
Demikian perkongsian personaliti dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi ekoran situasi dihadapi ketika sedang dalam perjalanan misi bantuan ke Gaza baru-baru ini.
Jelasnya, walaupun berada beribu kilometer di tengah lautan, dirinya masih terlindung daripada sebarang gangguan ataupun pergaulan sosial dari individu asing.
BACA LAGI: Pantau cara anak duduk, postur kaki 'W-sitting' undang risiko badan tak seimbang
Situasi itu menurutnya semakin menguatkan keyakinannya bahawa menutup aurat membawa rasa selamat dan terpelihara walau di mana sahaja dia berada.
Kisahnya bermula saat dia bersama rakannya dikenali sebagai Kak Ja, memilih untuk berpakaian serba hitam sepanjang perjalanan demi menjaga aurat serta memudahkan pergerakan.
"Disebabkan kami wanita Muslim perlu jaga aurat, kru dan penganjur siap sediakan ruang partition tertutup untuk kami berehat.
"Sepanjang di bot, kami memang tidur dengan pakaian serba hitam itu supaya apa-apa berlaku, aurat tetap terjaga," katanya.
Situasi tidak diduga berlaku apabila bot yang dinaiki mengalami kerosakan ketika laut bergelora dan mereka secara tiba-tiba didatangi seorang individu lelaki asing di pintu biliknya.
"Yang buat saya kagum, lelaki yang ketuk itu tundukkan pandangan dan langsung tak pandang kami walaupun kami dah berhijab.
"Dia kata, 'Im so sorry, but we have urgent meeting. Can we see in 5 minutes?', dia bukan Muslim, tapi tetap hormat.
"Bear in mind, dia bukan muslim tapi ada kefahaman, di sinilah buatkan saya rasa bersyukurnya bila kita dapat tutup aurat sebab secara automatik diri kita rasa terpelihara dan terjaga, nak rasa selamat jom cuba perlahan-lahan jaga aurat kita," tambahnya.
Mengimbau kembali saat penghijrahannya satu ketika dahulu, Hazwani turut berkongsi doa yang sering diamalkannya:
"Ya ALLAH, bagilah aku dapat menutup aurat dengan sempurna sehingga di hari orang tak dapat menutup auratnya".
Berharap agar ia dipraktikkan dan menjadi amalan harian, Hazwani dalam masa sama mendoakan agar lebih ramai wanita Muslim diberi kekuatan untuk memulakan langkah menjaga aurat secara berperingkat.
Sekadar info, adik kepada personaliti dan penyanyi Heliza Helmi itu sebelum ini pernah menjejakkan kaki ke Palestin dalam misi bantuan dijalankan pada 2019.
Pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam padanya sehingga melahirkan single solo berjudul You Are Not Alone (YANA) sebagai dedikasi buat anak-anak Gaza.
Kini, Hazwani bersama kakaknya, Heliza Helmi masih konsisten menggerakkan solidariti kemanusiaan dan difahamkan sedang berlayar ke bumi Palestin bersama beberapa lagi sukarelawan lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram