'Turning point kembali kepada ALLAH', Mia Ahmad kongsi cabaran besarkan anak sulung autisme


  • Bonda
  • Selasa, 23 Sep 2025

Mia Ahmad cekal membesarkan anak sulungnya yang didiagnosis autisme.

PELAKON popular, Mia Ahmad berkongsi pengalaman penuh emosi membesarkan anak sulungnya, Sayf Issa, yang didiagnos sebagai autisme berfungsi tinggi (high-functioning autism).

Mia, atau nama sebenarnya Samiha Ahmad Baderi, 37, mengakui tempoh awal bergelar ibu bukanlah perkara mudah kerana buntu dalam penyesuaian terbaik buat perkembangan anaknya.

Tahun pertama membesarkan anak dipenuhi dengan pelbagai percubaan dan kesilapan, termasuk usaha memberi permainan serta pakaian mewah buat cahaya mata sulungnya kerana menyangka itu yang terbaik pada fasa usia tersebut.

BACA LAGI: Pantau cara anak duduk, postur kaki 'W-sitting' undang risiko badan tak seimbang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ralat arwah meninggal seorang atas kerusi', Remy Ishak sebak kenang bapa pergi tanpa sesiapa di sisi

"Tahun kedua adalah tahun paling menakutkan, saya mula nampak tanda-tanda perkembangan Issa agak perlahan.

"Dia hilang eye contact, tidak respon bila dipanggil, mudah terganggu bunyi bising, kerap terjaga malam dan menunjukkan lebih banyak isu sensori," kongsi Mia di laman Instagram.

 

 

Detik paling sukar hadir apabila doktor mengesahkan Issa menghidap autisme dan pelakon drama Mr. Boss Miss Stalker itu akui dirinya berasa gagal sebagai seorang ibu selain menganggap segala usahanya tidak berhasil.

Namun, pengalaman itu menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya apabila mula menerima ketentuan ALLAH dan berdamai dengan segala ujian hidupnya.

"Saya lupa bahawa ALLAH, Al-Malik adalah pemilik sebenar seluruh langit dan bumi.

"That was also my turning point untuk kembali kepada ALLAH, mengakui kelemahan diri, membuang ego dan sifat memiliki," tambahnya.

Kini selepas tujuh tahun, Mia melihat ujian itu sebagai sebuah hadiah yang membentuk dirinya menjadi insan lebih kuat dan sabar.

Ibu kepada empat cahaya mata itu dalam masa sama turut menitip kata semangat buat ibu bapa yang dikurniakan anak istimewa agar tidak merasa keseorangan.

Yakin dengan perancangan Sang Pencipta, Mia berharap agar kurniaan cahaya mata istimewa itu mampu menjadi asbab untuk semua ibu bapa dimasukkan ke syurga sebagai negeri yang kekal abadi.

Sekadar info, Mia Ahmad mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi Roslan pada Januari 2017.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan dua sejoli itu dikurniakan tiga cahaya mata Sayf Issa, 6; Iriss, 4; dan ImaaniSayf Issa, 2, dan seorang bayi lelaki.

Suaminya, Izham, merupakan bekas penjaga gol skuad JDT dan pernah mewakili Malaysia dalam saingan bola sepak antarabangsa.

Kehidupan mereka sekeluarga sering menjadi perhatian peminat, namun Mia lebih selesa berkongsi sisi keibuan serta pengalaman membesarkan anak-anaknya di laman sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram