
KERAJAAN Qatar meluluskan dasar baharu yang membolehkan pekerja wanita bergelar ibu di sektor awam pulang dua jam lebih awal pada tempoh tertentu setiap tahun.
Ia difahamkan sebahagian dalam usaha meningkatkan keseimbangan antara kehidupan berkeluarga dan kerjaya golongan wanita di negara Timur Tengah itu.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Biro Perkhidmatan Awam dan Pembangunan Kerajaan menerusi catatan di platform X selepas mesyuarat Kabinet ke-28 tahun 2025 baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Majlis 'gender reveal' berlangsung meriah, Chryseis Tan umum bakal timang bayi lelaki
Fleksibiliti untuk ibu bekerja
Di bawah peraturan baharu, pekerja wanita yang layak boleh meninggalkan kerja lebih awal ketika tempoh akademik utama seperti cuti pertengahan tahun, peperiksaan pertengahan semester serta peperiksaan akhir tahun.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada individu yang terlibat dalam operasi berterusan sehingga tamat waktu rasmi bekerja.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Qatar dalam menyokong keluarga tempatan, memperkasa wanita di tempat kerja dan menyediakan lebih fleksibiliti dalam soal pengurusan masa.
Dalam pada itu, langkah berkenaan juga merupakan sebahagian daripada reformasi meluas selaras dengan Wawasan Nasional Qatar 2030, termasuk pemansuhan permit keluar bagi pekerja asing, pelaksanaan gaji minimum tanpa diskriminasi dan kemudahan pertukaran pekerjaan tanpa persetujuan majikan.
Qatar dalam masa sama turut menubuhkan dana sokongan pekerja sebagai jaminan kebajikan, sekali gus membuktikan toleransi negara itu terhadap hak pekerja serta tenaga buruh yang adil.
Langkah itu bertujuan bagi memberikan wanita di sektor awam lebihan masa bersama anak dan keluarga. — Gambar hiasan/Freepik
Penyertaan wanita capai tahap tertinggi
Kadar penyertaan tenaga kerja wanita di Qatar kini mencecah lebih 63.3 peratus, tertinggi di dunia manakala graduan universiti wanita pula mewakili 67.5 peratus daripada jumlah siswazah, melepasi purata peringkat global.
Bertitik tolak daripada pencapaian tersebut, kerajaan Qatar memperkukuh lagi sokongan dengan pengaturan kerja fleksibel, cuti bersalin yang meluas, kemudahan penjagaan anak dan program pembangunan kerjaya khusus untuk wanita dalam sektor teknologi, kesihatan serta pendidikan.
Kesaksamaan jantina
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Qatar menegaskan fokus negara itu ketika ini adalah untuk mengecilkan jurang jantina dari aspek perundangan, politik dan sosial.
Antara langkah yang ditekankan termasuklah dasar anti-diskriminasi, gaji setara serta persekitaran kerja yang inklusif dan selamat.
Di sektor swasta, Kementerian Buruh giat melancarkan kempen kesedaran dan strategi tenaga kerja untuk meningkatkan penyertaan wanita tempatan, di samping menarik bakat global bagi mempelbagaikan kemahiran.
Program tambahan turut memberi tumpuan kepada sokongan keusahawanan bagi wanita berpendapatan rendah, termasuk migran, sekali gus memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan ekonomi negara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram