[VIDEO] 'Ralat arwah meninggal seorang atas kerusi', Remy Ishak sebak kenang bapa pergi tanpa sesiapa di sisi


  • Cinta
  • Isnin, 22 Sep 2025

Remy Ishak meluahkan kekecewaannya apabila tidak berada di sisi saat pemergian ayahnya.

PELAKON popular, Remy Ishak, berkongsi kisah peribadi apabila masih menanggung rasa kesal kerana tidak sempat bersama arwah bapanya saat menghembuskan nafas terakhir.

Menurut pemilik nama sebenar Datuk Mohammad Zalimei Ishak, 43, ayahnya seorang yang sangat tegas kerana dibesarkan dalam keluarga tentera dan berbekalkan didikan disiplin itu, ia membentuk perwatakan keras sehingga menyebabkan hubungan mereka agak renggang pada fasa awal.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pressure dia sejak kecil', Remy Ishak daftar anak prasekolah, kelas renang demi perkembangan sihat

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

"Ayah saya askar, sangat tegas jadi kami adik-beradik tiada peluang macam anak orang lain. Kami sangat tertib dan perkara itu membuatkan 'jauh' dengan ayah.

"Apabila mak dengan ayah bercerai, semua pilih duduk dengan mak, tapi saya ada naluri kesian dekat ayah kerana dia seorang jadi pilih bersamanya," katanya menerusi satu temu bual podcast baru-baru ini.

Bagaimanapun, selepas berpindah ke Kuala Lumpur (KL) untuk membina kerjaya seni, Remy mengakui semakin jarang bertemu dengan bapanya kerana sibuk dengan urusan kerja.

“Selepas berhijrah ke KL, masa bersama ayah sangat terhad. Saya sibuk, tapi tetap jalankan tanggungjawab bagi wang sampailah ayah meninggal dunia, saya tiada.

"Masa ayah meninggal pun seorang diri, saya rasa momen selepas beberapa tahun rasa macam pelik bila tak jumpa, pahitlah bagi saya.

"Selagi ada mak ayah, kita kena hargai. Alhamdulillah mak masih ada. Itulah momen pahit bagi saya apabila ayah meninggal seorang diri. Cuma ralat kerana kakak maklumkan ayah meninggal duduk di atas kerusi," tambahnya.

Dalam kehidupan peribadi, Remy menemui kebahagiaan selepas mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Ezza Yusof pada Ogos 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Tuah Alam sebagai pelengkap keluarga pasangan tersebut.

Kini, Remy berusaha cekal memberi fokus bukan sahaja kepada kerjaya, tetapi juga kepada peranan sebagai suami dan bapa dengan pengalaman hidup bersama ayahnya yang tegas menjadikan jejaka berwajah maskulin itu lebih menghargai nilai kekeluargaan serta masa bersama insan tersayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram