Wangian semula jadi, bau bayi baru lahir rangsang deria ibu bapa, ikatan kasih sayang lebih utuh


  • Bonda
  • Rabu, 24 Sep 2025

Bayi baru lahir memiliki sejenis bauan yang cukup unik dan harum yang menjadi kegemaran ibu bapa. — Gambar hiasan/Freepik

FENOMENA bau bayi baru lahir sering kali menjadi kegemaran mana-mana individu khususnya yang bergelar ibu bapa.

Usai menyambut kelahiran anak, momen kali pertama mencium dan menghidu bau bayi pasti menjadi kenangan yang akan dirindukan bila mereka meningkat dewasa.

Ada yang menggambarkannya sebagai harum, lembut, menenangkan, malah segelintir ibu bapa bagaikan 'ketagih' untuk terus memeluk dan mencium si kecil.

BACA LAGI: Hazwani Helmi kongsi kebaikan menutup aurat, keselamatan terpelihara walau bermusafir tengah lautan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ralat arwah meninggal seorang atas kerusi', Remy Ishak sebak kenang bapa pergi tanpa sesiapa di sisi

Fenomena tersebut bukan sekadar tanggapan, tetapi sebenarnya mempunyai asas biologi dan psikologi yang cukup menarik.

Menurut Pakar Pediatrik Dr. Nisa Khalil, bau bayi bukanlah sekadar wangian haruman, sebaliknya ia terhasil daripada gabungan faktor semula jadi.

Antaranya ialah vernix caseosa (lapisan putih lembut pada kulit bayi ketika lahir yang berfungsi melindungi serta bersifat antibakteria), sisa air ketuban dan mikrobiom kulit semula jadi bayi.

"Doktor, boleh tak saya nak bau bayi kat anak saya sampai forever? Sebenarnya, bau newborn ini bukanlah kekal.

"ALLAH jadikan ia sebahagian daripada mekanisme untuk eratkan bonding ibu bapa dengan anak. Kajian pun buktikan, newborn scent aktifkan reward centre dalam otak ibu bapa, sebab itu rasa sayang dan tenang tu datang secara semula jadi," jelasnya di laman Threads.

 

 

Dalam pada itu, kajian agensi melaporkan bau bayi baru lahir mampu merangsang otak ibu bapa sehingga mencetuskan rasa kasih sayang mendalam.

Namun, seiring dengan perkembangan usia, bau itu perlahan-lahan menghilang selepas enam bulan ekoran diet pemakanan yang mulai berubah dan mikrobiom kulit si kecil semakin matang.

 

Kajian saintifik

Dr. Chris Klunk, ahli neonatologi dari Pediatrik Medical Group, Texas, Amerika Syarikat (AS) menyifatkan bau bayi baru lahir ibarat gabungan kedai roti Perancis dan cadar hangat dari pengering.

Momen bayi baru lahir merupakan kenangan yang akan dirindui ibu bapa bila anak meningkat dewasa kelak. — Gambar hiasan/Freepik

 

Penyelidikan menggunakan pengimejan resonans magnetik (fMRI) pula membuktikan bahawa pendedahan kepada bau bayi berupaya mengaktifkan rangsangan otak untuk memupuk kasih sayang antara ibu bapa dan anak.

Pakar pediatrik, Dr. Cherilyn Davis menjelaskan bahawa fenomena itu juga membuatkan si bayi sentiasa menagih perhatian serta penjagaan optimum ketika masih kecil dan sangat bergantung kepada ibu bapa mereka.

Walaupun bauan itu tidak kekal selamanya, pengalaman tersebut tetap menjadi memori yang meninggalkan kesan mendalam buat ibu bapa.

Setiap pelukan dan ciuman bukan sahaja memberi ketenangan, tetapi juga menyuburkan ikatan kekeluargaan yang penuh dengan rasa cinta dan rahmat sehingga anak meningkat dewasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram