JIKA berbicara tentang filem Ipar Adalah Maut, pasti ramai sudah 'panas punggung' melihat adegan kemesraan yang ditonjolkan antara seorang suami dengan adik iparnya sendiri.
Karya seberang yang diinspirasikan daripada kisah benar itu nyata berjaya meruntun banyak jiwa yang menonton.
Jika filem arahan Hanung Bramantyo itu memfokuskan pada isu isteri tersakiti, lain pula kisah yang menimpa sebuah keluarga di Perak apabila si suami pula yang menjadi mangsa kecurangan.
BACA LAGI: Curang, mentua antara punca utama pasangan muda bercerai
Hati bapa mana yang tidak luluh apabila mendapat tahu anak perempuan yang dimanjakan selama ini ternyata bukanlah puteri kandungnya.
Sebaliknya, budak perempuan berusia tiga tahun, mesra disapa Putri itu adalah anak kepada bekas adik iparnya sendiri.
Satu kebenaran pahit untuk ditelan lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Putra, 38, selepas hubungan sulit isterinya, Shaz (bukan nama sebenar) dengan biras, Khal (bukan nama sebenar), 36, terbongkar pada tahun lalu.
Bukanlah hendak mengeruhkan keadaan atau mahu mencanang perihal rumah tangganya ke seantero dunia, Putra bagaimanapun sudah tidak mampu berdiam diri apabila berterusan difitnah oleh bekas isteri yang mendakwa dirinya enggan bertanggungjawab ke atas puteri bongsu mereka.
Kepada kaum keluarga yang lain, wanita berusia 35 tahun itu bermati-matian mengaku bahawa Putri adalah anak kandung mereka berdua.
Tangkap layar perbualan bekas isteri bersama bekas adik iparnya.
Berkongsi kepada Majoriti, Putra memberitahu, selepas mendapatkan pandangan daripada peguam, dia tidak menunggu lama untuk melakukan ujian paterniti asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas Putri, di sebuah klinik swasta dekat Ampang, Selangor pada 26 Disember 2023 bagi mendapatkan kepastian mengenai status kanak-kanak berkenaan.
Lemah longlai kaki ahli perniagaan itu selepas hasil ujian DNA yang keluar pada 4 Januari tahun ini mengesahkan budak perempuan tersebut bukan anak kandungnya.
"Saya amat terkejut dan terus hubungi ahli keluarga bagi memaklumkan tentang perkara berkenaan.
"Sehari selepas itu, kami sekeluarga pergi ke rumah bekas mentua di Pulau Pinang untuk mendapatkan penjelasan daripada bekas isteri sambil membawa laporan DNA.
"Namun Shaz dan keluarganya malah menganggap saya menipu dan berulang kali menegaskan bahawa Putri anak kandung kami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Putra, reaksi bekas keluarga mentua yang masih membela bekas isteri meskipun sudah menunjukkan bukti ujian DNA, menyebabkan dirinya tekad mahu menghebahkan hal tersebut kepada pihak media pada awal tahun ini.
Bagaimanapun pada keesokan harinya, bekas bapa mentua menghubunginya dan menyatakan hasrat ingin berjumpa dan berbincang mengenai perkara itu di rumah Putra yang terletak di Perak.
Bekas isteri dan bekas adik ipar sebenarnya sudah menjalani hubungan di luar pengetahuannya lebih lima tahun lalu.
"Bekas adik ipar saya, Khal turut hadir dalam perjumpaan tersebut dan menegaskan bahawa Putri bukan anaknya. Khal malah memberitahu bahawa dia juga akan membuat ujian DNA untuk mendapatkan pengesahan.
"Dia buat ujian tersebut pada 11 Januari di klinik sama dan keputusan yang keluar pada 23 Januari menunjukkan Khal sememangnya bapa kandung kepada Putri, dengan padanan sebanyak 99.99 peratus," katanya yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2010.
Bercerita lanjut, Putra mendedahkan bahawa bekas isteri dan bekas adik ipar sebenarnya sudah menjalani hubungan di luar pengetahuannya lebih lima tahun lalu.
Kongsinya lagi, kejadian itu terbongkar selepas dia terjumpa butiran panggilan telefon antara mereka berdua menerusi telefon pintar Shaz pada tahun 2019.
"Ketika itu kami memutuskan untuk tinggal berasingan (tidak bercerai) selama enam bulan, namun selepas itu bekas isteri merayu untuk kembali. Setelah memikirkan masa depan anak-anak dan nasihat daripada ibu bapa, kami berdua kembali bersama sehinggalah dia mengandung anak yang ketiga," tuturnya.
Isteri jaja cerita palsu
Menurut Putra, kali ini dia nekad mencari dan mengumpul informasi bagi membuktikan segala kecurangan isterinya sejak dari dulu hingga tahun lepas.
Tambah anak sulung daripada empat beradik itu lagi, berdasarkan segala bukti perbualan menerusi aplikasi Signal, rakaman suara dan alamat aplikasi penghantaran makanan juga menunjukkan mereka sudah lama berhubungan.
"Selepas telefon pintar bekas isteri berada di tangan saya, saya mendapati sistem aplikasi penghantaran makanan sejak tahun 2020 hingga 2021 menunjukkan semua makanan itu dihantar ke rumah adik ipar saya dan beberapa hotel sekitar Pulau Pinang," ujarnya sambil menambah adik perempuannya dan Khal juga sudah bercerai pada Januari tahun ini.
Putra turut memaklumkan, dia dan bekas isteri sebelum ini menjalani kehidupan rumah tangga perhubungan jarak jauh (PJJ) atas alasan wanita berkenaan mahu menumpukan perhatian pada proses pembelajaran ijazah doktor falsafah (PhD) secara dalam talian.
"Saya menetap di Perak untuk menguruskan bisnes, manakala bekas isteri dan anak-anak tinggal bersama bekas keluarga mentua di Pulau Pinang sementara waktu," jelasnya.
Putra menunjukkan maklumat yang dikumpul bagi membuktikan segala kecurangan isterinya, termasuk informasi kelahiran Putri.
Tidak pernah terlintas di fikirannya, pisang akan berbuah dua kali dan kali ini impaknya nyata lebih dahsyat.
Lebih menyedihkan, Putra mengakui dia begitu menyayangi anak-anaknya dan telah mencurahkan sepenuh kasih sayang buat mereka semua, termasuk Putri.
Putra mempunyai dua anak lelaki masing-masing berumur 12 dan sembilan tahun, hasil perkahwinan dengan Shaz.
"Selepas bercerai pada 17 Januari lalu, anak-anak tinggal bersama bekas isteri, walaupun tidak sebumbung, saya tetap memberikan nafkah kepada mereka. Saya sangat sayang Putri kerana memang berkeinginan untuk mempunyai cahaya mata perempuan.
"Meskipun mengetahui hakikat dia bukan anak kandung, saya tetap tidak lupa untuk berjumpanya bersama anak-anak lain dan bersedia memberikan yang terbaik untuk masa depannya kelak, sebab anak kecil ini tidak bersalah.
"Sehingga minggu lepas pun, apabila telefon dia masih tanya..papa where are you? When are you coming back? You working ha? Saya tidak perlu berlakon, saya memang sayang.
"Cuma agak terkilan kerana saya sedar pada akhirnya, satu hari nanti apabila Putri sudah dewasa, keadaan (merujuk kepada batas pergaulan) mungkin sudah tidak sama seperti sekarang," katanya dalam nada pilu.
Dalam pada itu, Putra turut mendakwa, sehingga kini, bekas isteri masih menjaja cerita yang tidak benar kepada sanak saudara, sehingga menimbulkan fitnah dan bagi Putra, ia bukan sahaja satu penganiayaan buat dirinya, tetapi juga Putri.
"Saya harap bekas isteri berhenti menuding jari dan mengatakan bahawa Putri adalah anak kandung saya, atau tuduh saya culas menjalankan tanggungjawab.
"Sedangkan keputusan DNA dan semua bukti yang saya dan adik kumpul sudah jelas membuktikan pihak mana yang benar dan salah," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram