'Culture shock' peroleh gaji RM5,000 sebulan, wanita terjerat hutang RM25,000 akibat gaya hidup ‘Buy Now, Pay Later’


  • Maya
  • Isnin, 29 Sep 2025

Wanita tersebut mengaku lalai mengurus kewangan selepas mengalami kejutan budaya sewaktu mula bekerja dengan pendapatan lumayan. — Gambar janaan AI

SEORANG wanita berusia 25 tahun meluahkan rasa buntu selepas terjerat dengan hutang mencecah hampir RM25,000 akibat penggunaan melampau kemudahan Buy Now, Pay Later (BNPL).

Luahan itu dikongsikan menerusi platform Threads pada Jumaat, selepas wanita tersebut mengaku dirinya lalai mengurus kewangan selepas mengalami kejutan budaya sewaktu mula bekerja dengan pendapatan lumayan.

“Saya baru 25 tahun tapi sudah ada hutang hampir RM25,000. Saya sedar ini salah sendiri, terjerat dengan BNPL sampai komitmen makin bertambah. 

"Mohon doakan saya dapat keluar dari masalah ini dengan segera,” tulisnya.

BACA LAGI: Cinta selepas kahwin bertukar mimpi ngeri, wanita didesak suami jadi penjamin hutang 'ah long' RM30,000

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita dakwa kena paksa jadi wanita simpanan along kerana hutang bapa didenda RM4,000

Wanita itu menjelaskan, semasa masih bujang beliau menikmati gaji sebanyak RM5,000 sebulan, namun terjebak dengan pelbagai pinjaman dan komitmen termasuk pembelian kereta. 

"Masa itu saya tak tahu jika buat permohonan pinjaman di banyak bank dan SA (ejen jualan) yang berlainan boleh menjejaskan skor kredit saya.

"Tiga permohonan pinjaman saya diluluskan, menyebabkan skor kredit  jatuh ke tahap paling rendah," ceritanya.

Situasi bertambah rumit selepas beliau berkahwin, mengalami masalah kesihatan ketika hamil hingga diberhentikan kerja, lalu hilang sumber pendapatan utama.

"Hilang punca pendapatan itu yang membuatkan saya ambil pinjaman kecil untuk bayar komitmen. Ibarat gali lubang sana untuk tutup lubang sini,” katanya.

Kini, beliau dengan pendapatan RM1,500 sebulan, manakala gaji bersama suami sekitar RM3,000 digunakan bagi menampung sewa rumah, kos penjagaan anak dan perbelanjaan dua cahaya mata mereka. 

Suaminya turut melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing untuk membantu.

Wanita itu mengakui pernah terfikir melakukan penyatuan hutang, namun menyedari tidak layak berikutan gaji rendah dan status pekerja swasta. 

Buat masa ini, dirinya hanya mampu membuat bayaran minimum, selain berjimat dengan mengikat perut demi memastikan keperluan anak-anak terjamin.

“Sekarang saya bekerja, tapi dengan gaji kecil memang tak cukup. 

"Saya sedar ini salah sendiri yang gagal urus kewangan. Doakan saya jadi seorang ibu dan isteri yang tabah, sabar dan kuat melalui ujian ini,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam masa terdekat bagi menguruskan beban hutangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram