[VIDEO] Enggan 'bergantung' status pempengaruh semata, Sally Whoo makin serius perkukuh jenama kosmetik sendiri


  • Sukses
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Akui Sally, status sebagai pempengaruh media sosial bukan jaminan untuk popularitinya terus kekal. — Instagram/nrsalihah

JIKA anda sering membuka aplikasi TikTok, apatah lagi gemar menonton video tentang solekan dan penjagaan wajah, pastinya sudah mengenali susuk bernama Sally Whoo.

Bukan sahaja memiliki kemahiran dalam dunia mekap, malah celoteh bersahajanya membuatkan ramai selesa dan terhibur menonton setiap konten yang dikongsi.

Selepas berjaya membina nama sebagai pempengaruh di media sosial, pemilik nama lengkap Nur Salihah Aimuni, 25, kini menumpukan sepenuh perhatian untuk mengukuhkan perniagaan kosmetik miliknya sendiri.

BACA LAGI: Nikmati espresso sejak usia 3 tahun, Gerrity dedah bisnes keluarga kekal kukuh berkat 'sentuhan', pimpinan wanita

BACA LAGI: Yuna rancak usahakan perniagaan Tiny Forest, fokus hiasan terrarium bersama ibu

Sally kini menumpukan sepenuh perhatian untuk mengukuhkan perniagaan kosmetik miliknya sendiri. — Instagram/nrsalihah

Berkongsi kepada Majoriti, ujar Sally, pada awalnya beliau bermula kecil dengan hanya menjual bulu mata palsu secara dalam talian.

Namun, selepas menerima sambutan positif dan modal mula terkumpul, beliau mula menambah variasi produk kecantikan di bawah jenama Sally Beauty.

"Saya dah mulakan bisnes sejak sekitar 2020 secara kecil-kecilan.

"Cuma selepas orang makin kenal dan sudah ada modal, barulah saya kembangkan jenama sendiri," katanya.

Antara produk ditawarkan termasuk alat solekan seperti span, bedak tabur (loose powder) termasuk maskara dan penggaris mata yang baru sahaja dilancarkan pada 26 September.

“Bedak tabur Sally mungkin tidak setanding jenama antarabangsa, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk memberikan hasil yang sama, dengan harga jauh lebih mampu milik.

"Tak semua orang sanggup bayar RM150 hingga RM250 cuma untuk satu produk, jadi saya sediakan alternatif dengan hasil yang hampir sama,” jelasnya.

Maskara di bawah jenama Sally Beauty yang dilancarkan pada 26 September.

Sebelum menceburi dunia perniagaan, perjalanan hidupnya cukup berwarna-warni.

Pernah berkhidmat seketika sebagai pramugari dan kemudian bekerja di spa, ibu kepada seorang cahaya mata bernama Ean Maleeq itu mengakui, 'darah' usahawan sudah lama mengalir dalam dirinya.

Hadir daripada keluarga yang menjalankan perniagaan kosmetik, penerima anugerah TikTokers Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-35 itu sudah pandai berniaga sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya tolong jual produk keluarga, saya juga yang buat COD (tunai semasa penghantaran) dan sebagainya.

"Cuma baru sekarang saya betul-betul serius menunjukkan minat ke arah perniagaan," ujarnya menambah bisnes keluarganya sudah tidak lagi beroperasi kini.

Dalam perjalanan membina jenamanya, beliau yang mula menghasilkan kandungan untuk TikTok ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dibimbing beberapa penggiat industri kosmetik tempatan.

Sally (kanan) dan suami dikenali sebagai Toq bakal menimang sepasang cahaya mata kembar. — Instagram/nrsalihah

Ujarnya, antara nasihat yang paling dipegang hingga kini adalah untuk sentiasa berhati-hati dalam perniagaan.

“Dalam bisnes, kita tak tahu siapa kawan atau lawan. Lagi tinggi naik, lagi banyak cabaran datang," tegasnya.

Bagi Sally, cabaran dalam dunia perniagaan bukanlah beban, sebaliknya ruang untuk memperbaiki diri dan menambah baik jenamanya.

Beliau mengakui setiap langkah dalam perjalanan bisnes pasti berdepan ujian, kecaman, kritikan, hinggalah ketidakpuasan hati pelanggan.

Namun, semua itu diterima dengan hati terbuka.

“Kalau ada yang mengadu atau mengkritik produk, saya akan dengar dan jadikan ia sebagai ruang untuk menambah baik.

"Tak semua produk sesuai untuk semua orang, jadi penting untuk saya faham kehendak pelanggan,” jelasnya.

Bicaranya lagi, usahawan tidak boleh terlalu lama tenggelam dalam kekecewaan.

“Siapa saja tak pernah down? Semua orang pasti melaluinya tapi kita tak boleh lama-lama rasa begitu.

"Rumah, kereta, anak, semuanya tetap menuntut tanggungjawab. Jadi kalau hari ini kita jatuh, esok kita kena bangkit lebih kuat,” katanya yang memiliki 2.7 juta pengikut di TikTok miliknya.

Sally ketika menerima anugerah TikTokers Popular pada ABP ke-35. — Instagram/nrsalihah

Mengenai perancangan masa depan, Sally tidak menolak kemungkinan membuka premis fizikal apabila lebih banyak produk berjaya dipasarkan.

“Sekarang fokus saya adalah untuk memperkukuh jenama Sally dahulu. Insya-ALLAH, kalau produk semakin banyak, kita boleh buka kedai sendiri satu hari nanti,” ujarnya penuh harapan.

Bagi Sally yang menghitung hari untuk menimang sepasang cahaya mata kembar, status sebagai pempengaruh bukan jaminan populariti kekal.

Justeru, beliau memilih untuk membina legasi bisnes yang boleh bertahan lama.

“Pempengaruh bukan kerjaya tetap dan kita takkan selamanya berada di atas.

"Sebab itu saya pilih untuk bina bisnes sendiri agar ia lebih menjamin masa depan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram