
DARI dapur rumah di Spanish Harlem ke rak pasar raya seluruh Amerika Syarikat (AS), jenama kopi keluarga Cafe Aroma terus mengekalkan warisan lebih 60 tahun menerusi kepimpinan wanita.
Diasaskan pada 1961 oleh datuk dan nenek Bernadette Gerrity yang berhijrah dari Cuba, Cafe Aroma bermula dengan memanggang dan membancuh kopi di rumah untuk dikongsi bersama jiran.
Cuba merupakan salah satu pusat budaya pelbagai paling meriah di AS.
BACA LAGI: Yuna rancak usahakan perniagaan Tiny Forest, fokus hiasan terrarium bersama ibu
Latar belakang keluarga mereka bermula dengan neneknya yang bekerja di kilang gula di Cuba, sebelum turut mendalami kemahiran kopi.
Aroma dan rasa kopi yang kaya mendapat pujian ramai, memberi petanda perniagaan memanggang kopi mempunyai potensi besar.
Selepas puluhan tahun berkhidmat di kawasan Spanish Harlem, Cafe Aroma berjaya membina kelompok pelanggan setia sehingga mampu berkembang ke seluruh negara.
Kini, produk mereka berada di pasar raya utama di AS dan kekal sebagai pilihan restoran serta kafe di New York City.
Gerrity kini menerajui jenama Cafe Aroma dengan pendekatan moden. — Agensi
Pemimpin wanita
Gerrity yang kini berperanan sebagai Naib Presiden Cafe Aroma mengimbau kembali pengalaman awalnya dengan kopi.
Seawal usia tiga tahun, wanita itu sudah menikmati secawan espresso pertamanya.
“Tiada cara untuk mengelak, kami membesar dengan minum kopi,” kata beliau.
Menurutnya, minum kopi sudah sebati dengan budaya keluarganya sejak generasi terdahulu.
Malah, ibu dan ibu saudara sering bergurau kononnya nenek dan datuk mereka pernah memasukkan kopi ke dalam botol susu bayi.
“Minum kopi adalah sebahagian daripada budaya kami. Selepas makan, ketika duduk di meja, ibu bapa akan menikmati espresso.
"Ia dianggap sebagai hidangan manis, hampir seperti pencuci mulut, cuma ia mengandungi kafein. Ada nilai kebersamaan dalam amalan itu,” ceritanya.
Akui Gerrity, kejayaan kafe yang beroperasi selama 63 tahun itu tidak akan tercapai tanpa kerja keras ibu dan ibu saudaranya.
Beliau percaya, kepimpinan wanita dalam industri kopi yang sebelum ini dikuasai lelaki menjadi faktor utama pengukuhan jenama mereka.
“Dari segi perniagaan terutama di AS, ia memang dikuasai lelaki.
"Jadi apabila ibu dan ibu saudara saya yang turun membuat penghantaran, mereka selalu bergurau bahawa datuk saya menganggap mereka seperti lelaki dan menyuruh mereka terus bekerja,” jelasnya.
Gerrity menggunakan platform media sosial dan pemasaran pengaruh untuk mengukuhkan jenama. — Instagram/13ernnn
Gerrity membesar dengan menyaksikan kerja keras keluarganya. Sebelum menyertai bisnes tersebut, beliau mempelajari selok-belok perniagaan.
Berbekalkan pengalaman dalam perdagangan dan pengimportan kopi sebelum menyertai syarikat keluarga, Gerrity kini menerajui jenama itu dengan pendekatan moden.
“Ramai yang melatih saya terutamanya ketika bekerja di bawah ibu, ibu saudara dan datuk.
"Jadi, saya berada di tangan yang tepat. Dari situ saya mula jatuh cinta dengan industri ini.
"Pada hari pertama bekerja, seseorang berkata, ‘sekali masuk industri kopi, anda tidak akan meninggalkannya,” ceritanya lagi.
Minat terhadap pemasaran membawanya melihat peluang untuk berkongsi kisah keluarga.
Beliau mula memperkemas laman web, menjadikan kopi lebih mudah didapati dalam e-dagang, menggunakan platform media sosial dan pemasaran pengaruh untuk mengukuhkan jenama.
Profil rasa kopi di Cafe Aroma kekal hampir sama sejak ia ditubuhkan. — Instagram/thecafearoma
Legasi keluarga
Gerrity mengakui, apabila menyertai perniagaan, keutamaan keluarga dan kerja sering bercampur.
“Saya rasa perniagaan keluarga sangat unik kerana kita terpaksa seimbangkan dua dunia, memahami bila masa untuk kerja dan keluarga,” ungkap beliau.
Usahawan itu juga belajar untuk tidak terburu-buru memikul semua tanggungjawab sendiri semata-mata mahu membuktikan kemampuan.
“Kami terbiasa mahu memikul semua beban sendiri,” katanya.
Profil rasa kopi di Cafe Aroma kekal hampir sama sejak ia ditubuhkan.
Hanya sedikit penambahbaikan dilakukan, namun sentiasa diuji sesama ahli keluarga.
“Datuk saya sering membawa pulang kopi dari kilang untuk nenek rasa dahulu, memastikan ia menepati citarasa dan piawaian beliau.
"Jadi, saya percaya standard kualiti itu sentiasa dijaga, besar atau kecil. Ia juga sebahagian identiti jenama kami,” tuturnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram