
DI sebalik kesibukan sebagai pengurus wilayah di sebuah syarikat kelengkapan pejabat, Aida May KB, mencuri perhatian rakan sekerjanya dengan sebuah terrarium kecil di mejanya.
Di dalamnya, ratusan isopod, makhluk halus yang digelar pill bug atau kutu kayu bergerak lincah di celah lumut dan kulit kayu.
Disebabkan minat mendalam terhadap spesies tersebut, Aida, 37, kini mesra digelar 'Bug Lady' oleh rakan sekerja.
BACA LAGI: Peminat tegar The Crocodile Hunter bela 6 ekor buaya di rumah, simpan hasrat buka zoo mini percuma
BACA LAGI: Selamatkah membela memerang?
“Saya tak kisah dipanggil begitu kerana memang suka akan makhluk kecil ini,” katanya.
Minat Aida bermula lebih 10 tahun lalu apabila beliau gemar membela ikan hiasan.
Kini koleksi isopod miliknya mencecah 200 ekor daripada 10 spesies berbeza, termasuk cubaris murina dan armadillidium gestroi.
Namun, penjagaan yang rumit membuatkan beliau beralih kepada terrarium.
“Tumbuhan sahaja terasa statik. Saya mahukan sesuatu yang lebih dinamik, jadi saya mencari makhluk yang boleh hidup dalam terrarium.
"Ketika itulah saya menemui isopod di media sosial,” jelasnya.
Kini koleksinya mencecah 200 ekor daripada 10 spesies berbeza, termasuk cubaris murina dan armadillidium gestroi.
Ia diimport dari Thailand, Vietnam dan Perancis dengan harga serendah RM2 hingga setinggi RM60 seekor bergantung pada spesies dan warna.
Atasi rasa 'eww'
Bercerita tentang penerimaan orang ramai terhadap isopod, akui Aida, kebiasaannya reaksi mereka adalah bercampur-campur.
"Ada yang terus kata, ‘eww, serangga’ atau tanya, ‘awak jual lipas berwarna-warni ke?’.
“Namun ada juga yang anggap ia comel atau kata ‘tengoklah kaki kecil dia!” katanya sambil ketawa.
Sejak tahun lalu, Aida aktif menganjurkan bengkel kecil bagi mengajar orang ramai membina ekosistem mini menggunakan lumut, kayu, tanah dan isopod.
Cubaris Jupiter yang juga sejenis isopod.
Menurutnya, apabila peserta mengetahui bahawa isopod ialah krustasea daratan dan bukannya serangga, rasa ingin tahu mereka semakin meningkat.
“Isopod daratan ialah detritivor. Mereka memakan bahan organik yang mereput dan membantu mengitar semula nutrien ke tanah.
"Proses ini penting untuk kesihatan ekosistem,” bicaranya.
Kanak-kanak khususnya, suka memerhati pergerakan haiwan kecil itu, malah ada yang mengenalinya melalui permainan video Dungeons & Dragons sebelum melihatnya secara nyata.
“Banyak usaha diperlukan untuk mendidik orang ramai tentang apa sebenarnya isopod.
"Mereka tak boleh berlari laju, tak menggigit dan bernafas menggunakan insang. Kalau udara terlalu kering, mereka tak boleh hidup,” kongsi beliau.
Mendekati alam
Aida percaya hobi itu mampu merapatkan hubungan keluarga dengan alam semula jadi, terutama dalam suasana moden yang semakin menjauhkan anak-anak daripada pengalaman tersebut.
Didikan wanita itu sendiri berbeza. Ibunya yang bekerja di Jabatan Pertanian mengusahakan kebun makanan di rumah.
Aida dan adik-beradiknya membantu membuat kompos, belajar tentang pertumbuhan tumbuhan dan menghabiskan banyak masa di luar rumah.
Isopod Cubaris amber duck dikenali dengan warna keemasan yang tersendiri menyerupai ‘itik emas’.
Mereka juga gemar menonton dokumentari alam semula jadi oleh ahli biologi dan hos televisyen Britain, Sir David Attenborough.
“Program beliau mencetuskan minat saya terhadap dunia semula jadi sepanjang hayat.
“Kami dulu bermain dengan tanah dan semuanya baik-baik saja, tapi sekarang, ada kanak-kanak yang takut serangga termasuk rama-rama,” katanya mengimbas zaman kecilnya yang dipenuhi aktiviti kebun bersama ibu bapa.
Beliau kini giat mempromosikan hobi tersebut melalui media sosial dan bengkel, termasuk yang bakal diadakan hujung minggu ini di The School, Jaya One, Petaling Jaya, Selangor.
Hobi niche
Walaupun memelihara isopod masih baharu di Malaysia, Aida yakin lebih ramai akan mula menerokai hobi tersebut.
“Orang ramai sudah pun membela haiwan eksotik seperti reptilia dan tikus belanda.
"Kenapa tidak isopod? Ia murah, mudah dijaga dan menarik untuk diperhati,” tuturnya.
Lebih manis katanya, apabila ada ibu bapa yang pada mulanya hanya menemani anak, akhirnya turut seronok menyertai bengkel.
“Untuk keluarga, ia jadi satu cara belajar tentang alam bersama-sama dan itulah bahagian yang paling berharga,” katanya. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram