Langgar adat anak perempuan belajar di universiti, Juliana kini graduan pertama Orang Rimba, perjuang produk tradisi ikan salai


  • Sukses
  • Khamis, 25 Sep 2025

Pencapaian Juliana (gambar kiri) lambang sinergi antara masyarakat moden dengan komuniti adat Orang Rimba. — Agensi

MESKI dianggap melanggar adat yang melarang anak perempuan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, Juliana mencipta sejarah selepas muncul sebagai wanita pertama daripada komuniti Orang Rimba memperoleh ijazah sarjana muda.

Pada 23 Disember 2024, wanita berusia 23 tahun itu menamatkan pengajian dalam bidang perhutanan di Universiti Muhammadiyah Jambi, Indonesia, sekali gus menjadi jambatan antara budaya tradisional suku Anak Dalam dengan kehidupan moden di bandar.

Baru-baru ini juga, satu sambutan ringkas namun penuh bermakna telah diadakan di kampung halaman bagi meraikan pencapaiannya.

BACA LAGI: Nyanyian penuh penghayatan 'pikat' hati juri, Yazmin Aziz juara episod pertama Silk Way Star di Kazakhstan

BACA LAGI: Pernah diketepikan daripada senarai calon, Aitana Bonmati rangkul Ballon d’Or kali ke-3 berturut-turut

Orang Rimba dikenali sebagai komuniti pemburu dan pengumpul hasil hutan. — Agensi

Orang Rimba sebelum ini dikenali sebagai komuniti pemburu dan pengumpul hasil hutan, hidup berpindah-randah serta bergantung pada buah-buahan, tumbuhan dan haiwan liar.

Namun dasar kerajaan menyebabkan kawasan hutan semakin berkurangan, ditukar menjadi ladang kelapa sawit dan akhirnya memaksa mereka menerima tawaran kerajaan untuk menetap di kampung.

Kebiasaannya, anak perempuan komuniti itu dikahwinkan selepas tamat sekolah menengah rendah.

Namun ibu bapa Juliana memilih untuk membenarkan anak mereka menempuh pendidikan formal sejak sekolah rendah hingga universiti menerusi laluan tindakan afirmatif.

Di kampus, Juliana tetap mempertahankan budaya melalui ilmu, antaranya membangunkan teknik pengasapan ikan untuk pengawetan dan merumus ramuan tumbuhan bagi menghasilkan ubat tradisional.

Biarpun berdepan cabaran termasuk stigma masyarakat yang mempersoalkan kegunaan pendidikan tinggi tanpa pekerjaan tetap, Juliana enggan berundur.

“Saya akan terus memberi motivasi kepada ahli muda Suku Anak Dalam yang lain,” katanya.

Sambutan ringkas diadakan bagi meraikan pencapaian Juliana (tiga dari kiri). — Agensi

Kini, beliau aktif memimpin kumpulan wanita bernama Mina Hasop Eluk yang mengusahakan ikan salai dari kolam ternakan berkapasiti 3,000 ekor.

Produk mereka dijual pada harga Rp20,000 (RM5) sebungkus bagi 100 gram, selain turut mendapat Sijil Makanan Industri Rumah Tangga daripada Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM).

Kumpulan itu juga sedang memproses pensijilan halal daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI).

“Kami menjual produk di kedai tempatan dan pameran kerajaan atau masyarakat sivil.

"Harapan kami adalah untuk menembusi pasar mini dan kedai cenderamata Jambi.

"Namun cabarannya adalah perlu menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak,” jelas Juliana.

Juliana aktif memimpin kumpulan wanita bernama Mina Hasop Eluk yang mengusahakan ikan salai. — Agensi

Pencapaiannya bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi lambang sinergi antara masyarakat moden dengan komuniti adat Orang Rimba.

Daripada seorang gadis pemalu, Juliana muncul sebagai wanita berkeyakinan tinggi yang mampu mempromosikan budaya Suku Anak Dalam melalui penyelidikan dan persembahan tarian.

Juliana telah membuktikan dengan keazaman dan usaha gigih, impian yang pada awalnya dianggap mustahil boleh dicapai.

“Saya harap kejayaan ini dapat dijadikan teladan agar adik-adik saya, khususnya wanita Suku Anak Dalam dapat mengikuti jejak langkah saya dalam mencapai impian mereka,” katanya.

Namun menurut pemerhati, menjadikan semua Orang Rimba sebagai 'Juliana baharu' hanya boleh berlaku secara semula jadi, bukan melalui paksaan, agar tradisi mereka tidak musnah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram