
PENYANYI terkenal yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna kini sibuk memberi nafas baharu pada perniagaan tumbuhan hiasan miliknya, Tiny Forest.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram rasmi @tinyforestsj, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 39, aktif mempromosikan koleksi terrarium unik merangkumi tanaman kaktus dan sukulen, bersama ibunya.
Tidak hanya itu, mereka turut menjual pasu berwarna-warni yang dikatakan mampu mencetus rasa gembira dan menceriakan ruang kediaman.
BACA LAGI: ECCO pilih Yuna sebagai wajah baharu kempen 'Icons that Last'
Yuna turut menjual pasu berwarna-warni yang dikatakan mampu mencetus rasa gembira dan menceriakan ruang kediaman. — Instagram/tinyforestsj
Selain menjual pelbagai koleksi tanaman hiasan comel, Tiny Forest menerusi media sosial mereka turut berkongsi tip penjagaan tumbuhan khusus buat penggemar flora mini yang mahu mendalami teknik penjagaan terrarium.
"Hai besties! Ucapkan hai kepada koleksi terbaru kami. Kami kini memasuki era penuh warna-warni yang memberi vibe ceria dan menggembirakan.
"Tak sabar nak lihat anda menghias ruang dengan si comel ini. Kami membuat penghantaran sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” tulisnya.
Untuk rekod, kedai fizikal Tiny Forest milik pelantun lagu Crush yang terletak di Subang Jaya, Selangor itu ditutup pada penghujung Januari 2020.
Namun begitu, perniagaan itu masih kekal beroperasi secara dalam talian melalui laman sesawang dan media sosial.
Sebelum itu juga, Yuna pada 2018 pernah menutup butik pakaiannya, November Culture, yang beroperasi hampir empat tahun di Subang Jaya.
Terrarium ialah taman mini atau ekosistem tumbuhan yang dibina dalam bekas lutsinar seperti balang kaca.
Ia berfungsi sebagai hiasan dalaman atau kajian, dengan rekaan tertutup sesuai untuk tumbuhan lembap, manakala rekaan terbuka pula sesuai untuk tumbuhan gurun seperti sukulen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram