Pernah diketepikan daripada senarai calon, Aitana Bonmati rangkul Ballon d’Or kali ke-3 berturut-turut


  • Sukses
  • Rabu, 24 Sep 2025

Bonmati ketika meraih anugerah Ballon d'Or ketiga berturut-turut pada Isnin lalu. — Agensi

EMPAT tahun lalu, Aitana Bonmati pernah diketepikan daripada senarai calon Ballon d’Or meskipun tampil cemerlang membawa Barcelona menjulang Liga Juara-Juara Wanita pertama mereka.

Kini, pemain tengah Sepanyol itu membuktikan dirinya terlalu bernilai untuk diabaikan apabila meraih Ballon d’Or ketiga berturut-turut pada Isnin lalu.

Pencapaian berprestij itu menempatkan Bonmati dalam kelompok eksklusif bersama dua legenda bola sepak lelaki, Lionel Messi dan Michel Platini, yang pernah mendominasi anugerah tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jungle Girl' kongsi rezeki, taja televisyen pintar dan RM100,000 buat sekolah, pelajar ke Abu Dhabi

BACA LAGI: Bermula di Kedah, 'budak bandar' ajak sapot lokal, jual madu tualang artisan demi hargai keringat Orang Asli

 

Pada usia 27 tahun, beliau bukan sahaja mengukuhkan status sebagai pemain terbaik dunia, malah sudah melangkah ke tahap legenda.

Sejak debut profesional, Bonmati berkembang daripada pemain teknikal berbakat kepada seorang pemain tengah serba boleh.

Beliau konsisten menjaringkan gol, membina serangan, mengawal tempo permainan dan turut menyumbang dalam aspek bertahan.

Transformasi itu menjadikan Bonmati aset utama untuk kelab dan negara.

Kariernya melonjak sejak musim 2020-2021 apabila membantu Barcelona menjulang kejuaraan Eropah sulung dan dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan di final menentang Chelsea.

Namun, kekecewaan apabila namanya tidak tersenarai dalam calon Ballon d’Or ketika itu menjadi titik kebangkitan yang membuka jalan kepada pencapaian luar biasa selepasnya.

Di pentas antarabangsa, Bonmati menyerlah dalam Euro 2022 meskipun Sepanyol tersingkir di suku akhir.

Beliau kemudian tampil cemerlang pada Piala Dunia Wanita 2023, dengan merangkul anugerah Pemain Terbaik Kejohanan dan membantu negaranya meraih gelaran bersejarah.

Antara aksi yang dipamerkan Bonmati di atas padang.  — Agensi

Sejak itu, pemain bola sepak itu tidak pernah gagal memahat nama di podium utama.

Musim 2024-2025 menjadi bukti konsistensinya, termasuk persembahan gemilang di separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Chelsea dan aksi dominan bersama Sepanyol di Euro 2025.

Rekod peribadi itu melengkapkan koleksi tiga Ballon d’Or, tiga kejuaraan Liga Juara-Juara, 22 trofi domestik bersama Barcelona dan pelbagai gelaran pemain terbaik di pentas dunia.

Lebih mengagumkan, Bonmati masih berada pada usia kemuncak karier.

Dengan reputasi yang semakin meningkat, ramai menjangkakan trofi Ballon d’Or keempat, kelima atau lebih bakal menyusul.

Kini, perbincangan mengenai status Greatest of All Time (GOAT) atau terhebat sepanjang zaman dalam bola sepak wanita semakin hangat dan nama Aitana Bonmati jelas tidak boleh diketepikan daripada senarai legenda tersebut.

Untuk rekod, Ballon d’Or ialah anugerah bola sepak paling berprestij di dunia yang diberikan setiap tahun kepada pemain bola sepak lelaki dan wanita terbaik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram