Ambil serius imej seram, muram, anak mangsa buli cenderung jadikan lukisan isyarat 'halus' minta bantuan, bergelut tekanan


  • Bonda
  • Rabu, 24 Sep 2025

Ibu bapa perlu mengambil serius sebarang isyarat lukisan anak yang muram atau menyeramkan. — Gambar hiasan

LUKISAN boleh menjadi saluran penting bagi kanak-kanak dan remaja untuk meluahkan perasaan, terutama apabila mereka sukar menzahirkan kata-kata selepas berdepan pengalaman pahit seperti dibuli.

Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja daripada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Dr. Rahima Dahlan @Mohd Shafie, kanak-kanak biasanya masih belum mahir menamakan atau menyampaikan emosi secara langsung.

Menurutnya, apabila dibuli, mereka sering berasa takut, malu atau risau jika aduan hanya menambah masalah.

BACA LAGI: FOMO punca utama anak muda terjebak budaya buli, bimbang dipulaukan, tekanan rakan sebaya

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak dibuli, ibu bapa kena ajar lawan semula, bukan minta sabar', peguam kongsi jadi mangsa buli di sekolah asrama

"Jadi melukis menjadi cara alternatif untuk melepaskan tekanan kerana kertas dan pensil tidak menghakimi,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, lukisan berfungsi sebagai 'bahasa senyap' yang membantu anak menzahirkan kesedihan atau kemarahan.

Malah ujar beliau, ada kalanya ia berfungsi sebagai isyarat halus meminta pertolongan daripada orang dewasa.

Dr. Rahima berkata, kanak-kanak biasanya belum mahir menamakan atau menyampaikan emosi secara langsung, jadi melukis alternatif terbaik.

Dr. Rahima turut menjelaskan, lukisan sering mencerminkan hal yang bermain di fikiran anak.

"Misalnya, penggunaan warna gelap berulang kali, imej menyeramkan atau ganas dan melukis diri kelihatan kecil atau terasing boleh menandakan mereka sedang bergelut dengan tekanan emosi.

“Ada juga anak yang menggunakan coretan kasar dengan tekanan kuat atau melukis tema sama berulang kali.

"Namun, tidak semua lukisan pelik bermakna mereka mengalami trauma. Ia hanyalah petunjuk awal yang perlu dilihat bersama tingkah laku, mood dan interaksi harian,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan ibu bapa agar tidak mengabaikan tanda-tanda tersebut dan segera mendapatkan penilaian profesional jika ada kebimbangan.

Kebiasaannya kanak-kanak dan remaja sukar menzahirkan kata-kata selepas berdepan pengalaman pahit seperti dibuli. — Gambar hiasan

Mengabaikan isyarat awal, tegas Dr. Rahima, berisiko memberi kesan berpanjangan pada perkembangan anak.

“Antara risiko termasuk kemurungan, kebimbangan, tingkah laku mencederakan diri, keyakinan diri rendah, rasa tidak berharga dan sukar mempercayai orang lain.

"Dari segi akademik, tekanan emosi juga menjejaskan tumpuan dan prestasi,” jelasnya.

Dr. Rahima turut berkongsi tip kepada ibu bapa antaranya, peka terhadap perubahan mendadak dalam gaya atau tema lukisan anak.

Selain itu katanya, ibu bapa perlu menjadikan lukisan sebagai pintu masuk untuk berbual mesra bersama anak, bukan menghakimi.

"Ambil serius sebarang isyarat muram atau menyeramkan dan dapatkan penilaian profesional jika perlu.

“Setiap anak mempunyai cara tersendiri untuk meminta tolong. Ada yang bercakap, diam dan ada juga meluah melalui lukisan.

"Jangan pandang ringan tanda-tanda kecil ini,” tegas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram