Auntie Ja dakwa bekas staf 'jual' resipi, siap ambil pembekal sama guna nama Suka Dessert


  • Maya
  • Rabu, 24 Sep 2025

Auntie Ja meluahkan kekecewaan menerusi perkongsian di aplikasi TikTok miliknya.

PENGASAS perniagaan manisan popular, Suka Dessert, Siti Hajar Mohd Razali, mendakwa bekas pekerjanya bertindak menjual resipi produk mereka kepada pemilik kafe lain.

Mendedahkan hal itu menerusi akaun TikTok miliknya, usahawan yang mesra disapa Auntie Ja, 38, itu mendakwa, tindakan tersebut dipercayai dilakukan atas dorongan kewangan selain menggunakan nama Suka Dessert untuk mendapatkan kepercayaan pihak pembekal.

Tidak hanya itu, individu tersebut juga didakwa berhubung secara terus dengan pembekal utama kafe berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Willy Wonka versi Malaysia, Auntie Ja sanggup ikat perut tiap bulan demi beli resipi PJJ berharga lebih RM100

BACA LAGI: Dulu suka main 'buat kuih' dalam bilik air, kini Nurul Hazwana mahu empayar kek kuasai seluruh Perak

"Orang beri tawaran, dia terima. Semua sebab duit.

"Sekarang banyak lagi cerita keluar satu persatu. Dihubunginya pembekal besar SD (Suka Dessert) dan jumpa bos terus.

"Semuanya guna tiket SD. Patutlah sibuk datang dari jauh naik kereta sendiri semata-mata nak sertai mesyuarat. Padahal dia tak terlibat pun," tulisnya pada Selasa.

Dalam hantaran sama, Auntie Ja turut meluahkan rasa terkilan kerana individu tersebut sebelum ini mendapat pelbagai sokongan daripada pihaknya, termasuk peluang menghadiri kelas dan latihan perniagaan.

“Dah masuk kelas macam-macam yang SD sokong, masih lagi nak ikut resipi dan menu SD? Lemah.

"Boleh berhenti kot jaja cerita sedih hal keluarga,” ujarnya lagi.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan bekas pekerja ataupun pemilik kafe berkenaan.

Sebelum ini, Aunty Ja pernah mendedahkan penipuan seorang wanita dari Bintulu, Sarawak yang didakwa menggunakan pelekat rasmi jenama itu pada produk biskutnya.

Wanita berkenaan berkeras mendakwa biskut tersebut adalah keluaran rasmi Suka Dessert yang hanya dibungkus semula, malah mendakwa sudah mendapat keizinan, namun gagal mengemukakan bukti sah atau pelekat berlebihan sebagai rujukan.

Bagaimanapun, pelekat yang digunakan didapati hasil daripada cetakan sendiri dengan kualiti warna dan resolusi berbeza daripada produk asal.

Selain itu, biskut yang dipasarkan juga tidak konsisten dari segi saiz dan bentuk berbanding keluaran Suka Dessert yang dihasilkan menggunakan mesin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram