Nyanyian penuh penghayatan 'pikat' hati juri, Yazmin Aziz juara episod pertama Silk Way Star di Kazakhstan


  • Sukses
  • Rabu, 24 Sep 2025

Menerusi persembahan penuh penghayatan dengan lagu Lihatlah, Yazmin berjaya memikat hati barisan juri antarabangsa.

PENYANYI Yazmin Aziz, mengharumkan nama negara selepas muncul di tempat pertama dalam episod sulung pertandingan nyanyian antarabangsa Silk Way Star yang berlangsung di Kazakhstan, baru-baru ini.

Menerusi persembahan penuh penghayatan dengan lagu Lihatlah, Yazmin, 24, berjaya memikat hati barisan juri antarabangsa.

Lagu itu menurutnya mengisahkan tentang kekuatan diri biarpun berdepan keraguan orang lain.

BACA LAGI: Bakal nyanyi 4 bahasa sepanjang pertandingan, Yazmin Aziz teruja bawa nama Malaysia ke Kazakhstan, satu-satunya wakil Asia Tenggara

BACA LAGI: Dahulunya graduan, Hawa Rizwana teruja diberi penghormatan sebagai alumni kehormat di istiadat konvokesyen UiTM

"Lihatlah berkisar tentang mencari kekuatan walaupun ketika orang lain meragui kita.

"Saya sangat bersyukur kerana para juri di Kazakhstan dapat merasainya.

"Kemenangan ini adalah untuk Malaysia dan sudah tentu juga untuk Asean,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Selasa.

Selain vokal mantap, penampilan penyanyi berdarah kacukan Malaysia-Filipina itu turut mencuri perhatian apabila beliau tampil anggun dalam busana gaun elegan dengan potongan moden yang menampilkan sisi feminin.

Gaun tersebut diserikan dengan perincian kain organza nipis yang dililit ke bahu, memberi sentuhan eksklusif di pentas antarabangsa.

Penampilannya turut dilengkapkan dengan tata gaya daripada barisan penata profesional iaitu @09.11.1920, @kapsalann, @aigerim_altynbek dan @anarbek_zhardemov.

Sementara solekan glamor dan rapi pula adalah hasil sentuhan jurusolek Malysheva Veronika, sebagai menambah seri keseluruhan persembahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram