
USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall mengakui kini mulai mencapai titik damai dengan bekas suami, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, untuk membesarkan anak mereka bersama.
Meskipun mengakui perpisahan itu memberi kesan paling mendalam dalam hidupnya, wanita berusia 26 tahun itu tetap menghargai pengorbanan bekas suami yang dianggap memainkan peranan besar sejak hari pertama beliau berpantang.
“Saya minta maaf atas semua yang jadi sampai ke hari ini. Awak dikecam teruk, orang hina macam-macam, tapi saya bangga sebab awak tetap ada,” katanya menerusi hantaran di TikTok miliknya pada Isnin.
BACA LAGI: Pantau cara anak duduk, postur kaki 'W-sitting' undang risiko badan tak seimbang
Siti Jamumall atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin mendedahkan pada penghujung kehamilan, beliau berdepan kesukaran kewangan apabila semua akaun dibekukan.
Namun, bekas suaminya sanggup berhempas pulas mencari rezeki untuk memastikan segala keperluan bersalin dipenuhi.
“Awak datang fight cari duit untuk selesaikan semua keperluan anak bersalin.
"Titik peluh awak, tak cukup tidur, saya sangat hargai. Terima kasih sebab teman saya berjuang melahirkan anak kita, awak jaga dari hari pertama berpantang sampai hari ini untuk pastikan saya okey,” tulisnya lagi.
Walaupun berharap hanya talak dua yang dijatuhkan, keputusan mahkamah pada Isnin lalu menutup peluang mereka untuk kembali bersama.
Siti Jamumall akur dengan takdir itu meskipun mengakui masih sukar menerima hakikat tersebut kerana emosi bercampur-baur, lebih-lebih lagi ketika beliau masih dalam tempoh berpantang.
Ujarnya, anak sulung beliau dan Khairul Aiman, Ratna, yang baru berusia 10 hari, turut berada di mahkamah pada hari keputusan dibuat.
“Harapan mummy boleh la kembali bersama abiy demi Ratna tapi minta maaf adik, mummy tak boleh buat apa-apa, takdir ALLAH SWT dah menentukan semua ini jadi,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun masing-masing mempunyai kesilapan, masih banyak kebaikan yang ada pada bekas suaminya dan berharap orang ramai berhenti mengecam figura berkenaan.
“Sedih bila orang kutuk awak. Memang awak ada buat silap, saya pun ada silap tapi masih banyak kebaikan yang ada pada awak,” ujarnya.
Siti Jamumall berkata, beliau memerlukan ruang untuk memulihkan diri selepas melalui perpisahan yang menyakitkan, namun tetap berlapang dada untuk memberi yang terbaik kepada anak mereka.
Untuk rekod, Siti Jamumall pernah berkahwin dengan Mohammad Syafiq pada 2019, namun rumah tangga mereka berakhir tiga tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.
Siti Jamumall kemudian mendirikan rumah tangga bersama Khairul Aiman dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di Satun, Thailand pada Jun tahun lalu.
Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Isnin mengesahkan Siti Jamumall dan suaminya sah bercerai dengan talak satu buat kali ketiga, ketika siaran langsung di aplikasi TikTok, pada 14 Mei lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram